70% setuju sekolah vernakular tidak halang perpaduan, kata tinjauan UCSI


Sebanyak 71% responden tidak bersetuju sekolah vernakular mempolarisasi rakyat Malaysia dengan 13% bersetuju dan 16% tidak pasti. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 April, 2024.

TINJAUAN baru-baru ini oleh Pusat Penyelidikan Poll UCSI menunjukkan 70% responden bersetuju sekolah vernakular tidak menghalang perpaduan negara.

Bagaimanapun 13% lagi merasakan sekolah ini adalah batu penghalang kepada perpaduan nasional manakala 17% tidak pasti.

Tinjauan itu dijalankan dalam kalangan 1,010 rakyat di Malaysia. Tiada butiran diberikan bilakah pengundian dijalankan.

Untuk soalan lain 71% responden tidak bersetuju sekolah vernakular mempolarisasi rakyat Malaysia dengan 13% bersetuju dan 16% tidak pasti.

Sebanyak 65% daripada mereka yang ditinjau berkata sekolah vernakular tidak sepatutnya dimansuhkan di Malaysia, diikuti oleh 16% yang bersetuju sekolah itu harus ditutup manakala 19% tidak pasti.

Tinjauan itu juga memberikan pecahan maklum balas daripada responden Melayu yang mana kesemuanya berjumlah 283 orang.

Sebanyak 63% daripada responden Melayu ini tidak bersetuju sekolah vernakular mempolarisasi rakyat Malaysia, 61% mengatakan sekolah ini tidak menghalang perpaduan negara dan 55% berkata sekolah seperti itu tidak sepatutnya dimansuhkan.

“Tinjauan ini menunjukkan sekolah vernakular masih relevan.

“Dua dalam tiga responden yang mempunyai kanak-kanak di bawah umur enam tahun mahu menghantar anak mereka ke sekolah rendah jenis kebangsaan Cina (SJKC),” kata tinjauan pendapat itu.

Daripada 1,010 responden dalam tinjauan, 41% pergi ke sekolah rendah kebangsaan, 39% SJKC dan 20% sekolah rendah jenis kebangsaan Tamil (SJKT).

Dalam kalangan responden, 475 (47%) mempunyai anak di bawah umur enam tahun.

Daripada 475 responden ini, 323 (68%) mengatakan mereka akan menghantar anak mereka ke SJKC.

Alasan mereka menghantar anak ke SJKC adalah kerana pelajar sangat berdisiplin (69%), guru sangat komited (67%), kemudahan yang lebih baik di SJKC (57%) dan bahasa Cina sebagai bahasa ibunda mereka (40%).

Seramai 152 responden (32%) berkata mereka tidak akan menghantar anak mereka ke SJKC.

Alasan mereka ialah kerana Bahasa Cina bukan bahasa ibunda mereka (65%), pengajaran sangat tegar (64%), kanak-kanak mungkin tercicir (55%) dan tiada sekolah Cina berdekatan (34%).

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini ramai ahli politik dan aktivis nasionalis menggesa sekolah vernakular ditutup dengan alasan sekolah ini batu penghalang dalam mencapai perpaduan nasional.

Antara penyokong utama langkah itu ialah bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Bulan lepas Ketua Pemuda Umno Dr Muhamad Akmal Saleh menggesa penilaian semula sistem pendidikan vernakular mengatakan sekolah-sekolah ini hanya memecahbelahkan rakyat Malaysia.

“Pemuda Umno prihatin dengan perkembangan polemik semasa ini yang merancakkan lagi api perpecahan.

“Sememangnya semua yang berlaku adalah gambaran bagaimana selepas hampir 70 tahun merdeka, masih wujud jurang nilai dan pemisahan persefahaman dalam kalangan penduduk Malaysia yang berbilang kaum,” katanya dalam catatan Facebook.

Rakan Majlis Profesor Negara Prof Dr Teo Kok Seong adalah seorang lagi yang menggesa penilaian semula sistem pendidikan vernakular.

“Kami sudah membenarkan dan menggalakkan pengasingan etnik untuk kanak-kanak pada usia yang sangat muda, dan ini tidak baik untuk perpaduan negara.

“Dan anda boleh lihat kesannya. Apabila kanak-kanak sekolah rendah ini melangkah ke sekolah menengah yang hanya mempunyai satu aliran kebangsaan, polarisasi kaum amat ketara,” katanya seperti dilaporkan bulan lepas.

November lalu Mahkamah Rayuan memutuskan sekolah vernakular di Malaysia adalah berperlembagaan.

Para hakim berkata Perlembagaan Persekutuan melindungi penggunaan bahasa Tamil dan Cina di sekolah-sekolah ini walaupun bahasa Melayu diiktiraf sebagai bahasa kebangsaan Malaysia.

Mahkamah rayuan membuat keputusan ini selepas menolak rayuan oleh empat pertubuhan bukan kerajaan yang mencabar perlembagaan sekolah vernakular.

Empat kumpulan itu ialah Majlis Pembangunan Pendidikan Islam (Mappim), Gabungan Persatuan Penulis Malaysia (Gapena), Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) dan Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (I-Guru). – 8 April, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen