Ekonomi jadi kebimbangan utama bawah pentadbiran Anwar, kata tinjauan


Ravin Palanisamy

Tinjauan sempena setahun pentadbiran Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri. – Gambar Facebook, 22 November, 2023.

EKONOMI negara di bawah setahun pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim menjadi kebimbangan utama hampir semua yang mengambil bahagian dalam tinjauan Merdeka Centre.

Tinjauan yang diadakan bermula 4 hingga 24 Oktober itu melibatkan 1,220 pengundi daripada pelbagai etnik di seluruh negara menunjukkan 78 peratus menyatakan ekonomi sebagai kebimbangan utama mereka di negara ini.

“Hampir empat daripada lima pengundi mengatakan ekonomi sebagai masalah utama negara,” kata dapatan tinjauan itu.

Menurut tinjauan itu, lima kebimbangan ekonomi yang utama ialah : keadaan ekonomi yang tidak memberangsangkan secara umum, kos sara hidup yang tinggi, ringgit yang lemah, pendapatan minimumam dan pembangunan ekonomi.

Mengikut pecahan kaum, pengundi Muslim Bumiputera tertinggi dengan 84.1% yang bimbang dengan masalah ekonomi dihadapi negara diikuti India (81.2%), Melayu (81.1%), bukan Islam Bumiputera (79.5%) dan Cina (69.3%).

Sementara tinjauan juga menunjukkan 60% pengundi merasa negara menuju ke arah yang salah sementara 31% lagi merasa ia menuju ke atah yang betul.

Sekali lagi, majoriti merasakan kebimbangan terhadap ekonomi menjadi sebab utama negara menuju ke laluan yang salah.

Selain itu, alasan lain pengundi merasa negara berada di laluan yang salah adalah kestabilan politik, pentadbiran yang kurang baik, kualiti kepimpinan dan ketaksamaan kaum.

Manakala dari sudut pandang positif, majoriti pengundi yang merasa negara berada pada arah yang betul menyifatkan pentadbiran yang baik kunci kepada perkara itu diikuti kebimbangan ekonomi, kepimpinan, politik dan melawan rasuah.

Kerajaan perpaduan dibentuk pada November tahun lalu selepas Anwar mendapat sokongan Barisan Nasional serta parti dari Sabah dan Sarawak.

Anwar juga kita mendapat majoriti dua per tiga yang kukuh di Parlimen dengan 151 ahli Parlimen menyokongnya termasuk empat daripada Bersatu. – 22 November, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen