SEORANG pemandu lori berusia 35 tahun diberkas polis berhubung video yang memaparkan perbuatannya merosakkan peralatan di sebuah tokong di Manjung, Perak.
Penahanan itu dibuat pada jam 9.30 malam semalam susulan tular video menunjukkan lelaki itu merosakkan peralatan sebuah tokong di Kampung Koh, Manjung pada 1.30 tengah hari pada hari yang sama.
Suspek ditahan di tempat kerjanya, dan telefon bimbitnya, dipercayai digunakan untuk merakam video, dirampas.
Menurut kenyataan Ketua Polis Daerah Manjung Mohamed Nordin Abdullah hari ini, suspek yang juga bekas tentera akan dibawa ke Mahkamah Majistret Teluk Intan untuk permohonan reman.
Walaupun menghidap penyakit mental, dia tidak memiliki kad orang kurang upaya (OKU).
Insiden yang dirakam dalam video dimuat naik ke platform media sosial X pada Jumaat, disiasat mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan kerana mencemarkan tempat ibadat dengan niat menghina agama.
Kesalahan ini membawa hukuman maksimum penjara dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali.
Kes juga disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 bagi kesalahan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian.
Sabitan di bawah seksyen ini boleh membawa hukuman penjara maksimum setahun, denda RM50,000, atau kedua-duanya sekali, kata Nordin. – 7 April, 2024.
Komen