Lelaki maut ditembak di Puchong Prima


SEORANG lelaki mati ditembak dalam satu kejadian di Puchong Prima, Puchong petang tadi.

Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan mengesahkan perkara itu dan berkata polis menerima makluman mengenai insiden yang berlaku di depan sebuah pangsapuri Sri Acasia, Taman Puchong Prima pada jam 3.49 petang.

Beliau berkata pengadu adalah anggota yang bertugas di pusat kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya.

“Dalam kejadian itu, polis berbalas tembakan dengan suspek yang merupakan warga tempatan. Suspek yang ditembak mati mempunyai rekod lampau iaitu tujuh jenayah, dadah dan satu rekod dikehendaki,” menurutnya dalam kenyataan malam ini.

Hussein berkata siasatan lanjut masih dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat lain berkaitan insiden itu boleh hadir ke balai polis berhampiran atau menghubungi IPD Subang Jaya di talian 03-7862 7222 bagi membantu siasatan.

“Polis juga mengesan satu rakaman video berkait kejadian ini yang tular di media sosial. Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menularkan video itu yang boleh mendatangkan kegusaran kepada masyarakat,” katanya. 

Sementara itu, tinjauan di lokasi kejadian mendapati pasukan forensik yang tiba pada jam 5.30 petang mengumpul bahan bukti di dalam sebuah kereta berkait kes itu.

Kenderaan polis dilihat memasuki kawasan itu untuk membawa keluar mangsa pada jam 6.15 petang. – Bernama, 14 Januari, 2024.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen