Brek rosak, lori rempuh 6 kereta di lampu isyarat


SEBUAH lori merempuh enam kenderaan lain yang berhenti di persimpangan lampu isyarat Jalan Ara Kuda di Tasek Gelugor, Pulau Pinang semalam, dipercayai akibat kerosakan brek.

Pemangku Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Siti Nor Salawati Saad berkata, kejadian itu menyebabkan seorang pemandu kereta mengalami kecederaan, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku.

“Kemalangan pada jam 11.15 pagi itu dipercayai berlaku apabila lori dalam perjalanan dari Tasek Gelugor menghala ke Lunas, Kedah tidak dapat berhenti kerana kegagalan brek.

“Ketika tiba di lampu isyarat, pemandu lori memperlahankan kenderaannya dengan bergerak ke kiri dan kanan selepas brek gagal berfungsi, sebelum merempuh enam kenderaan yang berhenti di lampu isyarat itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kes itu disiasat di bawah Peraturan 10 Kaedah-kaedah Lalu Lintas Jalan 1959.

Terdahulu, tular satu video menunjukkan sebuah lori hilang kawalan sebelum merempuh beberapa kereta ketika semua kenderaan itu berhenti di lampu isyarat. – Bernama, 21 Januari, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen