Sistem Microsoft digodam sejak akhir November


Serangan itu dipercayai bermula pada akhir November dan dikesan pada 12 Januari lalu. – Gambar EPA, 20 Januari, 2024.

PENGGODAM yang dipercayai mempunyai kaitan dengan Rusia dilaporkan menggodam e-mel beberapa pegawai kanan Microsoft, menurut gergasi perisian Amerika Syarikat itu pada Jumaat, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Serangan itu dipercayai bermula pada akhir November dan dikesan pada 12 Januari, menurut Microsoft dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Penggodam turut memuat turun beberapa dokumen yang terdapat dalam e-mel namun Microsoft tidak memberi butiran lanjut mengenai e-mel pegawai kanan yang terjejas.

Akaun e-mel milik ahli korporat pasukan keselamatan siber dan undang-undang Microsoft turut diakses.

“Microsoft mengenal pasti penggodam sebagai Midnight Blizzard juga dikenali sebagai Nobelium,” menurut syarikat AS itu.

Jumlah akaun pekerja yang terjejas masih belum dapat dipastikan namun Microsoft menegaskan bahawa peratusannya sangat kecil.

Sehingga 30 Jun, syarikat itu mempunyai kira-kira 221,000 pekerja.

Microsoft berkata serangan itu bukan disebabkan kelemahan sistem atau perkhidmatannya.

“Sehingga kini, tiada bukti bahawa penggodam mempunyai sebarang akses kepada data pelanggan, sistem pengeluaran, kod sumber atau sistem AI (kecerdasan buatan),” menurut syarikat itu.

Microsoft memaklumkan penggodam pada mulanya menyasarkan akaun yang mempunyai maklumat berkaitan Midnight Blizzard. – Bernama, 20 Januari, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen