Laman web digodam: Perkeso jamin khidmat tidak terencat


Kata Perkeso, serangan siber itu bukan kali pertama sebaliknya siri pencerobohan sudah berlaku dengan kali terakhir pada September lepas dan berjaya dibendung. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Disember, 2023.

PERTUBUHAN Keselamatan Sosial (Perkeso) memberi jaminan sistem, pangkalan maklumat dan laman sesawang agensi itu yang diserang penggodam sejak Sabtu lepas, tidak akan merencatkan khidmat kepada pencarum, majikan serta orang ramai.

Perkeso dalam kenyataan hari ini memaklumkan segala pembayaran faedah, pampasan dan pencen ilat kepada pencarum serta waris terlibat akan tetap dilaksanakan mengikut tempoh yang diperuntukkan.

Menurut Perkeso pelan pengurusan krisis juga diaktifkan pada hari serangan laman sesawang berkenaan dibuat.

“Pada peringkat awal, modus operandi serangan siber itu dikenal pasti bertujuan untuk melumpuhkan segenap infra Perkeso yang digunakan bagi pengoperasian seharian.

“Bagaimanapun, kejayaan unit teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) Perkeso mendapatkan semula kawalan sistem akhirnya menyebabkan penggodam menukar taktik dengan cuba melancarkan serangan ‘character assasination’ (pembunuhan watak) terhadap imej Perkeso,” menurut kenyataan itu.

Mengenai kebocoran maklumat yang dipaparkan menerusi dark web atau web tertutup, kenyataan itu memaklumkan hasil penelitian awal Perkeso mendapati kesahihan data yang dicuri penggodam amat diragui, tidak lengkap dan luput.

“Serangan siber terhadap Perkeso ini bukan kali pertama sebaliknya siri pencerobohan sudah berlaku dengan kali terakhir pada September lepas dan berjaya dibendung.

“Tindakan penggodam yang tidak bertanggungjawab ini adalah serangan yang menyasarkan kepentingan negara. Justeru segala hasil forensik akan dikongsikan kepada pihak berkuasa demi mengelakkan episod sama berulang terhadap agensi lain,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Menteri Sumber Manusia V. Sivakumar berkata serangan siber itu tidak menjejaskan kebajikan pencarum Perkeso kerana data yang bocor merupakan data yang sudah luput.

“Malah saya akan memastikan tiada pihak yang terjejas dengan insiden ini. Kementerian Sumber Manusia memberi jaminan kepentingan negara dan hak rakyat terutamanya hak pencarum Perkeso akan terus dipelihara,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata kementerian juga akan melipatgandakan tindakan mitigasi dengan mendapatkan kerjasama agensi serta pihak berkuasa daripada kementerian berkaitan.

Terdahulu, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil dilaporkan berkata pihak CyberSecurity Malaysia (CSM), Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) dan Jabatan Perlindungan Data Peribadi akan menjalankan siasatan berhubung insiden serangan siber terhadap laman sesawang agensi berkenaan. – Bernama, 8 Disember, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen