Tahun 2024: Malaysia dan kesempatan untuk berdaya tahan


Fakhrurrazi Rashid

TAHUN 2024 dianggap sebagai pesta demokrasi apabila kebanyakan negara di dunia akan berhadapan dengan pilihan raya bagi memilih pemimpin dan kerajaan baharu. The Financial Times menganggarkan sebanyak 2 billion pengundi di hampir 50 hingga 60 buah negara akan pergi ke kotak undi. Antara negara yang akan melaksanakan pilihan raya Indonesia, India, Amerika Syarikat, United Kingdom, dan Taiwan. 

Ini satu ujian besar buat nilai dan institusi demokrasi. Penyalahgunaan kuasa dan politik identiti yang semakin mendapat tempat di beberapa buah negara, telah menolak nilai kematangan yang menjadi asas sebuah sistem demokrasi. Pelanggaran ini menjadikan pilihan raya sekadar alat memilih pemimpin tanpa membuat pertimbangan tentang visi dan daya kepemimpinan menerajui negara. 

Larry Diamond, seorang profesor sains politik di University of Stanford memperkenalkan terma democratic recession atau kemelesetan demokrasi. Ia menggambarkan keruntuhan nilai budaya demokratik dan pemikiran meminggirkan keadilan undang-undang akan menjejaskan sistem demokrasi dan pantadbiran sesebuah negara. 

Alec Russell, editor Financial Times dalam artikelnya Can democracy survive 2024? (Mampukah demokrasi bertahan 2024) mengulas bahawa pilihan raya yang berlaku pada tahun ini berlangsung dalam konteks nilai demokrasi dan kebebasan diketepikan, institusi awam yang bebas dilemahkan, dan sikap pesimistik anak muda terhadap demokrasi itu sendiri.  

Menarik untuk pemerhati politik dan aktivis menilai sejauh manakah peristiwa-peristiwa ini memberi kesan kepada keutuhan nilai demokrasi itu baik di peringkat antarabangsa dan domestik. Soalnya, bagaimana pula dengan keadaan di Malaysia?

Politik masih belum reda

Bagi Malaysia, tahun 2024 adalah tahun ‘senyap’ pilihan raya. Cuma, provokasi politik untuk mewujudkan ketidakstabilan politik semakin rancak awal tahun ini. 

Pendedahan tentang Langkah Dubai dan penipuan mempersembahkan akuan bersumpah (SD) kepada Yang Di-Pertuan Agong (YDPA) adalah berita diulang-ulang oleh pihak yang masih sugul atas situasi politik negara pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) setahun yang lalu.  

Hak kebebasan dan demokrasi digunakan untuk menjustifikasikan perbuatannya itu. Tetapi, bila dibincangkan soal reformasi institusi dan cadangan melaksanakan pilihan raya kerajaan tempatan yang mengangkat nilai demokrasi, langsung ditolaknya habis-habisan. Soalnya, adakah Malaysia sedang berada dalam kemelesetan demokrasi?

Ketidakmatangan politik berlandaskan kepentingan fahaman politik kepartian melampau boleh menjadi faktor berlakunya kemerosotan demokrasi negara. Kegagalan ahli politik melihat hala tuju negara dan memahami nilai demokrasi sebenar hanya mewujudkan ketidakstabilan dan kebingungan politik yang berpanjangan. 

Jika kerajaan yang mempunyai majoriti besar meminggirkan pandangan pembangkang dan pada masa yang sama pembangkang pula gagal mengawasi prestasi kerajaan dan hanya ingin menjatuhkan kerajaan yang belum sampai sepenggal, maka apa akan jadi kepada masa depan anak bangsa dan negara?

Mengambil kesempatan yang ada 

Malaysia seharusnya mengambil kelebihan yang ada untuk bergerak lebih cekap dan yakin bagi mengikatkan prestasinya semula pada tahun 2024 ketika negara lain sibuk dengan hal ehwal pilihan rayanya. 

Laporan Situasi dan Prospek Ekonomi Dunia 2024 yang dikeluarkan Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengunjurkan ekonomi Malaysia berkembang positif 4.5 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2024 meskipun ekonomi dunia bergerak perlahan. Ini peluang terbaik untuk ekonomi Malaysia berkembang pesat.

Untuk mencapai unjuran 4.5 peratus itu, kerajaan MADANI merencana dasar penting seperti dasar gaji progresif. Inisiatif bagi meningkatkan gaji pekerja ini adalah pendekatan untuk memperluas kuasa membeli pekerja dan memberi nilai tambah kepada KDNK negara hampir k RM 3 bilion. Perubahan ini disokong pula dengan perancangan seperti Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) yang mahu Malaysia beralih kepada industri bernilai tinggi. 

Dengan perancangan dasar yang dilihat inklusif ini, tahun 2024 harus menjadi  anjakan paradigma buat Malaysia dan berani mengambil risiko untuk terus berdaya saing. Persoalannya sekali lagi, apakah rancangan ini berjaya jika ahli politik tidak faham akan hala tuju dan masih memanipulasi politik untuk kepentingan kendiri?

Malaysia tidak boleh menanggung kerugian akibat kecuaian jentera kerajaan dan pemimpin negara pada tahun 2024. Keghairahan memajukan ekonomi perlu datang dengan agenda memperkemas kecekapan jentera kerajaan dan memperkukuh institusi awam. 

Jangan lupa reformasi institusi dan pentadbiran

Pendirian Anwar Ibrahim untuk memantau prestasi setiap kementerian dari sudut pelaksaan projek dan dasar adalah asas penting untuk menuju tata kelola yang baik. Insiden kelewatan menambah baik situasi bekalan air di Universiti Malaysia Sabah (UMS) hampir tujuh bulan, meskipun diperuntukkan RM 3 juta pada Mei 2023 oleh Perdana Menteri, menunjukkan betapa perlahannya jentera kerajaan melaksanakan dasar sehingga menyusahkan rakyat. 

Soalnya, apa nilainya pengumuman Menteri jika program dilaksanakan perlahan macam siput? Dan berapa banyak lagi program dalam Belanjawan 2023 gagal dilaksanakan?

Sebab itu, kewujudan Pantau MADANI, sebuah unit dibawah Jabatan Perdana Menteri (JPM), memainkan peranan penting bagi menyelesaikan ‘zon kelabu’ yang dihadapi jentera kerajaan dalam melaksanakan sesuatu dasar. Ia juga akan meningkatkan akauntabiliti jentera kerajaan dalam pelaksanaan dasar yang telah diputuskan jemaah menteri. 

Institusi Parlimen menjadi aktor penting untuk menyemak dan mengimbangi prestasi kerajaan secara menyeluruh. Amalan seperti perbahasan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) di parlimen bagi membuat teguran dan cadangan menambah baik prestasi kerajaan wajar diteruskan. Lebih penting lagi, pihak kerajaan dan pembangkang perlu mempunyai kemahuan politik atau political will dalam kerja-kerja melibatkan kepentingan rakyat.  

Tahun 2024 akan menguji daya tahan politik dan ekonomi negara daripada sebarang ujian mendatang. Meskipun suhu politik negara masih belum reda, institusi dan nilai demokrasi harus diangkat bagi memastikan ekonomi negara berkembang dan kestabilan politik negara dapat dicapai. 

Apa yang lebih penting, Malaysia perlu menonjolkan daya tahan yang tinggi bagi mengekang ekonomi dan demokrasi negara berada dalam kemelesetan, seperti yang berlaku di negara lain di seluruh dunia. – 13 Januari, 2024.

* Fakhrurrazi Rashid, juga dikenali kawan-kawannya sebagai Bob, minat dengan parlimen yang tidak siapa kisah di Malaysia dan sentiasa mengikuti rapat isu politik semasa.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen