Peguam tuduh SPRM nafi akses pelanggan dalam kes Daim


Ravin Palanisamy

Empat individu yang dipanggil untuk direkodkan kenyataan mereka adalah kakitangan pentadbiran Menara Ilham. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Januari, 2024.

PEGUAM yang mewakili empat individu dalam siasatan terhadap bekas menteri kewangan Daim Zainuddin menuduh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan akses kepada pelanggan mereka.

Rajesh Nagarajan mendakwa SPRM berkelakuan zalim, menyalahi undang-undang dan dengan cara yang angkuh.

“Salah seorang peguam kami yang mewakili individu itu berada bersama pelanggan di bilik temu duga apabila pegawai SPRM bergegas masuk dan memaksa peguam itu keluar dari bilik itu.

“SPRM menghalang daripada mewakili dan menasihati pelanggan kami.

“Hak untuk mendapatkan perwakilan undang-undang apabila disoal oleh badan penguatkuasaan adalah asas kepada sistem keadilan jenayah kita. SPRM bertindak dengan cara yang menjijikkan,” kata Rajesh kepada The Malaysian Insight.

Rajesh berkata walaupun terdapat pengajaran daripada kes kematian Teoh Beng Hock dalam tahanan, SPRM terus menafikan akses kepada peguam bagi individu yang disoal siasat.

“Adalah jelas SPRM tidak belajar apa-apa daripada kesilapan mereka sebelum ini.

“Apabila ditanya siapa yang mengarahkan kami dikeluarkan dari bilik temu duga, pegawai SPRM mendakwa ia ‘arahan datang daripada pihak atasan’,” katanya.

Rajesh menjelaskan empat individu itu merupakan kakitangan pentadbiran Menara Ilham.

SPRM merampas Menara Ilham, sebuah bangunan 60 tingkat milik keluarga Daim pada 22 Disember sebagai sebahagian daripada siasatannya terhadap bekas menteri kewangan itu.

“Empat individu itu dipanggil untuk keterangan mereka direkodkan di bawah seksyen 30 Akta SPRM 2009,” katanya.

“Keempat-empat mereka sangat bekerjasama dan segera hadir ke ibu pejabat SPRM untuk direkodkan kenyataan walaupun diberi notis kurang 24 jam untuk berbuat demikian,” katanya sambil menambah suruhanjaya itu gagal memaklumkan kepada peguam atau individu tentang pertuduhan apa yang sedang mereka disiasat.

Rajesh berkata Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki mesti bertanggungjawab sepenuhnya berkenaan hal berkenaan.

“Beliau harus menjelaskan ini melibatkan kepentingan awam dan integriti sistem keadilan jenayah.

“Kami seterusnya meminta kerajaan memberi jaminan badan penguatkuasa akan menghormati hak orang ramai untuk mendapatkan perwakilan undang-undang, nasihat dan bantuan,” katanya. – 4 Januari, 2024.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen