Kian Ming gesa sistem Padu digantung sehingga kelemahan dibaiki


Bekas ahli Parlimen Bangi Ong Kian Ming menggesa kerajaan perbaiki kelemahan sistem Padu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Januari, 2024.

PENDAFTARAN Sistem Pangkalan Data Utama (Padu) perlu digantung sehingga semua kelemahan keselamatan diperbaiki, kata pakar strategi DAP Ong Kian Min hari ini.

Bekas timbalan menteri itu juga semalam mendedahkan sesiapa sahaja boleh membuka akaun di bawah nama individu lain menggunakan maklumat yang mudah diakses, seperti nama penuh dan nombor MyKad, sekali gus menyekat individu sebenar daripada mendaftar.

Pangkalan data Padu yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim semalam adalah untuk pelancaran subsidi bersasar bagi bahan api dan bahan asas lain.

“Malangnya, pangkalan data Padu, seperti sedia ada, tidak akan berguna dalam mencapai objektif ini,” kata Ong dalam satu kenyataan.

Beliau berkata mereka yang menerima bantuan kerajaan seperti Bantuan Tunai Rahmah (BTR) tetapi tidak layak kerana mempunyai pendapatan bukan cukai lain seperti pendapatan sewa rumah dan tanah dimiliki, tidak akan mengisi maklumat tepat di Padu.

Ong juga berkata sesetengah pengguna termasuk beliau tertanya-tanya mengenai banyak ruangan tidak diisi kerana Padu sepatutnya menyatukan data beberapa kementerian dan agensi kerajaan termasuk Lembaga Hasil Dalam Negeri, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Perkeso, Jabatan Pendaftaran Negara dan ICU.

Beliau berkata Menteri Ekonomi Rafizi Ramil menjawab di X yang maklumat ini tidak dipaparkan kerana kebimbangan keselamatan terhadap kemungkinan menggodam pelayan Padu.

“Tetapi jika sebahagian daripada maklumat ini sudah tersedia melalui kementerian dan agensi kerajaan, mengapa Padu memerlukan pengguna untuk mengisi maklumat ini?

“Bagaimana jika maklumat diberi tidak sama seperti yang terdapat dalam pangkalan data Padu? Bagaimana Padu mengesahkan maklumat lain yang diberi oleh pengguna seperti pendapatan sewa tanah atau hartanah?” soalnya.

Ong juga menegaskan “isu keselamatan utama dengan pendaftaran Padu” bagi mereka yang mempunyai nombor kad pengenalan dan poskod sama dengan alamat kad pengenalan pengguna boleh mendaftar akaun Padu untuk orang lain, tanpa perlu melalui proses e-KYC.

“Saya sudah mencubanya dengan alamat dan poskod pada kad pengenalan empat rakan DAP saya yang merupakan Menteri atau Timbalan Menteri iaitu (Hannah) Yeoh Tseow Suan, (Steven) Sim Chee Keong, Liew Chin Tong dan Teo Nie Ching.”

Katanya, beliau boleh menukar beberapa butiran untuk kelayakan akademik dan pekerjaan (Hannah) Yeow Tseow Suan tanpa perlu melalui pengesahan e-KYC.

“Saya amat mengesyorkan agar Kabinet membuat keputusan kolektif untuk menggantung pendaftaran pengguna Padu sehingga isu keselamatan dapat diselesaikan.

“Sistem ini harus diuji dengan betul sebelum ia dilancarkan semula. Pengguna yang telah mendaftar tetapi belum menjalani pengesahan e-KYC perlu diminta mendaftar semula selepas isu keselamatan diselesaikan,” kata Ong. – 3 Januari, 2024.

Berita penuh di sini



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen