Muda tarik sokongan langkah positif bagi kerajaan, kata Ong Kian Ming


Bekas ahli Parlimen Ong Kian Ming mengucapkan selamat maju jaya kepada Muda dalam usaha parti itu menjadi kuasa ketiga dalam politik Malaysia. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 September, 2023.

KEPUTUSAN Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk tidak sehaluan dengan Pakatan Harapan (PH) mahupun Perikatan Nasional (PN) harus dilihat secara positif dari perspektif kerajaan perpaduan, kata Ong Kiang Ming.

Bekas ahli Parlimen DAP itu berkata, keputusan Syed Saddiq itu sekali gus menyebabkan kerajaan perpaduan hilang majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat, bermakna boleh membuka pintu untuk kerajaan menandatangani beberapa Memorandum Persefahaman (MoU) dengan pembangkang.

Ini juga bermakna kerajaan perpaduan tidak boleh lagi dijadikan tebusan oleh seorang atau dua individu untuk kelulusan mana-mana pindaan perlembagaan, katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

“Saya merujuk bukan sahaja kepada Syed Saddiq tetapi juga kepada dua ahli Parlimen dari MCA, seorang ahli Parlimen dari MIC, dan segelintir ahli Parlimen dari parti-parti kecil di Sabah dan Sarawak, yang mungkin ingin mendapatkan habuan atau konsesi tertentu daripada perdana menteri sebagai pertukaran untuk sokongan dalam menyokong pindaan perlembagaan ini.

“Sebaliknya, kerajaan perpaduan perlu mendapatkan konsensus yang meluas, baik daripada semua pihak dari dalam kerajaan perpaduan mahupun daripada gabungan Perikatan Nasional (PN) mengenai perkara-perkara seperti persempadanan semula yang bermula pada 2026,” jelas beliau.

Ong mengulas pengumuman Syed Saddiq semalam, bahawa beliau akan duduk di blok pembangkang sebagai kuasa ketiga susulan keputusan pendakwa raya minggu lepas yang melepas tanpa membebaskan Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi daripada 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Mengulas lanjut, Ong yang juga bekas ahli Parlimen Bangi berkata walaupun beberapa pemimpin PN mahu pengundi di Pulai menafikan majoriti dua pertiga kepada kerajaan perpaduan untuk menghentikan mewujudkan lebih banyak kerusi parlimen dalam persempadanan semula, namun realitinya, PAS dan sedikit sebanyak, pemimpin Bersatu juga tidak kisah pun jika ada pertambahan kerusi parlimen di Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu, yang tidak pernah disaksikan sejak 1995.

Beliau berkata, kehilangan majoriti dua pertiga boleh membuka pintu untuk kerajaan perpaduan supaya menandatangani beberapa Memorandum Persefahaman (MoU) dengan pembangkang, termasuk untuk menyokong rang undang-undang kerajaan tertentu seperti Akta Pembiayaan Politik yang akan menginstitusikan peruntukan dana seimbang untuk kerajaan dan juga ahli parlimen pembangkang.

“Hasil niat baik ini mungkin menyaksikan pembangkang tidak lagi membuat sebarang cubaan untuk menggantikan kerajaan menerusi cara pintu belakang atau bukan melalui pilihan raya dan juga menetapkan laluan ke arah pembaharuan yang lebih substantif yang disokong oleh kedua-dua belah pihak,” katanya.

Penarikan balik sokongan Muda itu juga, tambah Ong, sekarang ini garis politik telah dilukis, yakni DAP tidak perlu lagi menyokong Muda seperti mana mereka menyokong Syed Saddiq di Muar semasa kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan di kerusi DUN Puteri Wangsa semasa Pilihan Raya Negeri Johor pada Januari 2022.

“Saya mengucapkan selamat maju jaya kepada Syed Saddiq dan Muda dalam usaha mereka menjadi kuasa ketiga dalam politik Malaysia. 

“Saya berharap dia dan rakan-rakannya dalam Muda dapat memainkan peranan mereka dalam menghasilkan dasar yang boleh dipercayai dan substantif tentang cara menambah baik proses kerajaan dan pentadbiran di peringkat tempatan, negeri dan persekutuan,” kata Ong. – 11 September, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen