Jumpa di mahkamah, kata BDS kepada McDonald's Malaysia


Alfian Z.M. Tahir

Gerbang Alaf Restaurants Sdn Bhd menuntut BDS Malaysia memohon maaf dan membayar ganti rugi khas RM6 juta. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Januari, 2024.

KUMPULAN pro-Palestin, Boycott Divestment and Sanction Malaysia (BDS Malaysia), yang disaman RM6 juta oleh McDonald’s Malaysia, tidak tergugat dan menyerahkan kepada mahkamah untuk memutuskannya.

Pengerusi BDS, Prof Dr Mohd Nazari Ismail menafikan sebarang salah laku dan menyatakan beliau akan mengeluarkan kenyataan lebih terperinci tidak lama lagi.

“Baru-baru ini BDS Malaysia menerima writ saman daripada McDonald’s Malaysia, menuduh kami memfitnah syarikat itu.

“Kami menafikan perkara ini secara mutlak. Oleh itu kami memutuskan untuk membiarkan mahkamah membuat keputusan mengenainya.

“Kami sudah mendapatkan khidmat syarikat guaman Raja Riza and Associates. Selepas berunding dengan peguam, kami akan mengeluarkan satu kenyataan lebih terperinci,” kata bekas ahli akademik Universiti Malaya itu.

Merujuk kepada saman itu, peguam kanan Haniff Khatri Abdulla berkata, beban kini terletak kepada Gerbang Alaf Restaurants Sdn Bhd, pemegang lesen McDonald’s di Malaysia, untuk membuktikan badan NGO itu memfitnah syarikat mereka.

Beliau berkata, Gerbang Alaf berhak untuk mengeluarkan saman jika berasakan perniagaan mereka terjejas disebabkan kempen boikot berkenaan tetapi mungkin berdepan tugas berat untuk mengesahkan kenyataan berunsur fitnah itu.

Gerbang Alaf menuntut BDS Malaysia memohon maaf dan membayar ganti rugi khas RM6 juta.

Rangkaian makanan segera itu, dalam mengesahkan tindakan undang-undang mereka, mengulangi tiada sebarang jualan, keuntungan, royalti atau yuran francaisnya membiayai sebarang konflik politik.

Berdasarkan writ yang dilihat oleh The Malaysian Insight, ia menuntut BDS Malaysia menyiarkan permohonan maaf di laman sesawangnya, halaman Facebook dan Instagram serta permohonan maaf berkenaan dikekalkan dalam platform tersebut.

“Sesiapa sahaja boleh memulakan saman sivil jika mereka berasakan hak mereka dicabuli tetapi sama ada mereka berjaya atau tidak itu cerita lain.

Kempen boikot terhadap syarikat yang berkaitan dengan Israel menyebabkan beberapa syarikat didakwa mengalami kerugian besar.  – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Januari, 2024.

“Mereka perlu membuktikan bayaran lesen (francais) yang dibayar kepada McDonald’s tidak disalurkan kepada Israel. Untuk menyatakan ramai orang Melayu Islam terjejas dengan seruan boikot itu satu isu lain.

“Isunya adalah sama ada McDonald’s menyalurkan dana mereka kepada Israel. Selain itu, kehilangan pekerjaan atau kehilangan pendapatan termasuk bantuan kemanusiaan yang dihantar ke Palestin oleh Gerbang Alaf adalah cerita berbeza.

“Saya yakin fakta yang disiarkan NGO itu bukannya palsu. Saman yang dibawa oleh McDonald’s Malaysia pada pendapat saya adalah untuk meraih simpati di media sosial.

“Dan jika benar mereka mahu meraih simpati di media sosial, saman itu ternyata menyalahgunakan proses mahkamah,” kata Haniff.

Semakan di laman sesawang BDS menunjukkan McDonald’s disenaraikan di bawah sasaran boikot yang dimulakan oleh kempen akar umbi.

Dikatakan boikot ke atas McDonald’s adalah disebabkan oleh francaisnya di Israel. Ia dilihat menyokong Israel secara terbuka dan menyerahkan sumbangan dan bantuan kepada tentera Israel.

Dalam wawancara dengan TMI sebelum ini, Nazari menggesa rakyat Malaysia memboikot syarikat dan jenama yang dikaitkan dengan Israel, yang jelas melakukan pencabulan hak asasi manusia di Gaza.

Diilhamkan oleh gerakan anti-aparteid Afrika Selatan, BDS menggesa tekanan dikenakan ke atas Israel untuk mematuhi undang-undang antarabangsa.

BDS adalah gerakan pro-Palestin bagi kebebasan, keadilan dan kesaksamaan. Ia menjunjung prinsip rakyat Palestin berhak mendapat hak yang sama seperti insan lain.

Saman sivil mungkin memakan diri

Pengarah program Iman Research, Badrul Hisyam Ismail pula membidas saman Gerbang Alaf dengan menyatakan tindakan itu hanya akan menjadi memakan diri.

Badrul berkata Gerbang Alaf sepatutnya cuba memahami sentimen sebelum memulakan saman undang-undang.

“Ia bukanlah satu langkah bijak. Mereka sepatutnya tahu tindakan sebegitu hanya akan menyebabkan lebih banyak kerosakan, orang ramai tidak akan pergi ke McDonald’s kerana perang yang berterusan dan kini menyaman organisasi pro-Palestin hanya akan menyebabkan mereka diketepikan lagi.

“Saya rasa mereka terdesak, mereka tidak boleh mempertahankan apa yang berlaku di Gaza dan mereka tidak boleh menafikan sumbangan McDonald’s kepada Israel. Ia tersebar di seluruh Internet. Gambar McDonald’s menyediakan makanan kepada IDF (Pasukan Pertahanan Israel) dikongsi secara meluas di media sosial.”

“Tiada apa yang boleh dilakukan oleh Gerbang Alaf dan saman itu adalah alternatif untuk menuntut semula kerugian mereka,” kata Badrul. – 1 Januari, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen