McDonald's sah saman BDS Malaysia


McDonald’s Malaysia menyaman BDS Malaysia kerana memboikot rangkaian restoran makanan segeranya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Disember, 2023.

MCDONALD’S Malaysia mengesahkan tindakan saman terhadap Boycott Divestment Sanctions Malaysia (BDS Malaysia) kerana memboikot rangkaian restorannya dan berkata amat bersimpati dengan mangsa yang tidak bersalah di Gaza.

Pemilik francais McDonald’s di Malaysia, Gerbang Alaf Restaurants Sdn Bhd (GAR) menuntut ganti rugi RM6 juta bagi kerugian yang ditanggung akibat tindakan kumpulan yang mempromosikan boikot terhadap jenama antarabangsa utama itu sebagai tindak balas terhadap pencerobohan Israel ke atas Gaza.

“Walaupun kami memahami dan menghormati tindakan memboikot adalah keputusan individu, kami percaya ia harus berdasarkan fakta yang benar dan bukan dakwaan palsu,” kata McDonald’s Malaysia dalam satu kenyataan yang dikeluarkan kepada The Malaysian Insight.

Ia mengesahkan dengan berdasarkan nasihat undang-undang luar, syarikat itu memfailkan saman sivil terhadap BDS Malaysia “untuk melindungi hak dan kepentingan kami mengikut undang-undang.”

BDS ialah gerakan pro-Palestin yang bermaksud boikot, lupus, dan sekat terhadap jenama yang menyokong Israel dan menamatkan pendudukan Israel di Palestin. 

Konflik semasa yang menyaksikan lebih 21,000 maut di Gaza dicetuskan oleh serangan mengejut Hamas ke atas bandar sempadan Israel pada 7 Oktober yang menyaksikan 1,200 maut dan kira-kira 240 diculik.

Malaysia menyokong hak Palestin dan menggesa gencatan senjata segera di Gaza.

McDonald’s Malaysia berkata dalam kenyataannya ia telus dan konsisten tidak menyokong atau memaafkan konflik semasa di Timur Tengah dan seperti semua rakyat Malaysia, bersimpati dengan mangsa yang tidak bersalah di Gaza.

“Kami telah menyumbang sejumlah RM1 juta kepada Tabung Kemanusiaan Palestin yang dilancarkan oleh kerajaan dan akan terus berdoa agar konflik berakhir dan keamanan berterusan di Gaza.

“Kami seterusnya mengulangi pendirian yang McDonald’s Malaysia tidak menyalurkan sebarang jualan, keuntungan, royalti atau yuran francais daripada operasi restoran untuk menyokong mana-mana perjuang politik atau konflik di mana-mana bahagian dunia,” kata rangkaian makanan segera itu.

Dalam samannya, pemegang francais tempatan itu berkata ia memohon pampasan terhadap pelbagai aspek, termasuk kerugian hasil (RM3 juta), pampasan untuk pekerja yang diberhentikan (RM1.5 juta), dan kos bahan tamat tempoh (RM1.5 juta).

Ia mendakwa defendan, BDS Malaysia, menggalakkan permusuhan orang ramai terhadap jenama McDonald’s berhubung konflik di Palestin.

Kenyataan tuntutan mereka menegaskan majoriti rakyat Malaysia, yang kebanyakannya beragama Islam, memboikot perniagaan itu kerana kononnya ada kaitan dengan konflik itu. – 30 Disember, 2023.

Berita penuh di sini



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen