McDonald’s Malaysia tuntut ganti rugi RM6 juta daripada penyokong kempen boikot


Gerbang Alaf Restaurants Sdn Bhd menuntut pampasan untuk pelbagai aspek, termasuk kerugian hasil (RM3 juta), pampasan untuk pekerja yang diberhentikan (RM1.5 juta), dan kos bahan tamat tempoh (RM1.5 juta). – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Disember, 2023.

GERBANG Alaf Restaurants Sdn Bhd (GAR), pemilik francais McDonald’s di Malaysia, memfailkan tuntutan berjumlah RM6 juta sebagai ganti rugi atas kerugian yang ditanggung rangkaian makanan segera itu susulan tindakan kumpulan yang menyokong pemboikotan terhadap jenama antarabangsa utama berkenaan sebagai tindak balas kepada pencerobohan Israel ke atas Gaza.

GAR menuntut pampasan untuk pelbagai aspek, termasuk kerugian hasil (RM3 juta), pampasan untuk pekerja yang diberhentikan (RM1.5 juta), dan kos bahan tamat tempoh (RM1.5 juta).

Plaintif, GAR, mendakwa defendan, Boycott Divestment Sanctions Malaysia (BDS Malaysia), menghasut orang ramai supaya membenci jenama McDonald’s susulan konflik di Palestin.

GAR dalam satu kenyataan berhubung tuntutan tersebut menegaskan majoriti rakyat Malaysia, yang kebanyakannya beragama Islam, memboikot perniagaan defendan kerana didakwa mempunyai kaitan dengan konflik itu.

Kenyataan itu juga menyebut terdapat insiden di mana pekerja plaintif diugut dan diaibkan dalam media sosial.

Sebagai tambahan kepada ganti rugi teladan, GAR memohon injunksi terhadap pengulangan kenyataan fitnah dan perintah mahkamah supaya BDS Malaysia menarik balik semua kenyataan tersebut.

GAR menegaskan BDS Malaysia, secara sindiran, membuat kesimpulan syarikat itu terlibat dalam pembunuhan beramai-ramai 2.3 juta rakyat Palestin dan bekerjasama dengan Israel atau tenteranya.

“Plaintif menegaskan bahawa ia mahupun McDonald’s Corporation tidak menyumbang, menyokong atau terlibat dalam sebarang konflik politik atau agama di seluruh dunia, termasuk konflik Israel-Palestin.

“Disebabkan penyebaran kenyataan fitnah oleh defendan di laman web, akaun Facebook dan akaun Instagram mereka, reputasi plaintif terjejas dan menjadi sasaran kebencian awam,” kata kenyataan tntutan yang difailkan pada 19 Disember.

GAR memaklumkan mereka sudah menghantar surat tuntutan kepada BDS Malaysia untuk memadamka kenyataan fitnah pada 10 November, dan sebagai maklum balas pada 12 Disember, BDS Malaysia menegaskan bahawa McDonald’s Corporation membenarkan pemegang francaisnya membantu tentera Israel, dengan menegaskan bahawa kenyataan mereka adalah fakta.

Dalam pernyataan tuntutannya, GAR menegaskan syarikat itu dimiliki sepenuhnya oleh orang Islam, dengan 55% pelanggannya juga beragama Islam.

BDS Malaysia, dalam satu kenyataan, menyangkal tuduhan fitnah terhadap GAR.

“Oleh itu, kami memutuskan untuk membiarkan mahkamah memutuskan perkara itu,” kata kumpulan itu, sambil menambah butiran lanjut akan didedahkan tidak lama lagi. – 29 Disember 2023



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen