Tugas berat MCA raih semula sokongan pengundi Cina, kata Lian Ker


Angie Tan

Bekas timbalan presiden MCA, Ti Lian Ker berkata parti itu kini mempunyai pengaruh politik yang sangat sedikit. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Disember, 2023.

BEKAS naib presiden MCA, Ti Lian Ker mengakui usaha untuk meraih semula sokongan pengundi Cina semakin sukar susulan prestasi buruk parti itu dalam pilihan raya.

Ti berkata MCA kini mempunyai pengaruh politik yang sangat sedikit.

“Ia bukan seperti dulu. Kami tidak mempunyai sebarang perwakilan dalam Kabinet.

“Tiada jawatan menteri. Bagaimana hendak mempengaruhi pengundi sedangkan kita tidak mempunyai pengaruh?” katanya kepada The Malaysian Insight dalam satu wawancara baru-baru ini.

“MCA tidak lama dulu sudah pun ditolak sebagai tidak relevan. Kini ia bertambah buruk,” tambah Ti.

Beliau berkata dua kerusi yang dimenangi parti itu pada pilihan raya umum lalu adalah hasil bantuan daripada pengundi Umno-Melayu, bukannya pengundi Cina.

MCA masih menjadi ahli gabungan Barisan Nasional yang dipimpin Umno.

Parti itu masih kekal sementara ramai yang lain meninggalkan gabungan itu selepas tewas dalam Pilihan Raya Umum ke-14 pada 2018.

Ti berkata dengan kekal dalam gabungan berkenaan dan mempertahankan pendirian parti dalam beberapa isu khususnya berkaitan kaum, memberi gambaran kepada pengundi Cina parti itu hanya tunduk kepada Umno.

Lebih malang, katanya, MCA gagal memberi penerangan yang jelas pengundi Cina tentang mengapa parti itu masih berkompromi.

“Teras perjuangan politik kami sentiasa bersandarkan kepada pendidikan, kebajikan, dan kepentingan ekonomi orang Cina.

“MCA sudah melakukannya dengan baik di kawasan ini, tetapi kami masih tidak mendapat sokongan pengundi. Ini kerana hubungan kami dengan Umno.”

Ti berkata jika MCA bercakap secara terbuka mengenai “isu yang sangat sensitif”, seperti isu berkaitan kaum, ia boleh diputarbelitkan menjadi isu perkauman.

“Orang Melayu, perpecahan dalam parti politik Melayu, perlembagaan, dan Raja-raja Melayu perlu diambil kira sebelum kita bercakap tentang apa-apa.

“Itulah realiti politik, dan kita harus bersikap pragmatik.”

Pendirian itu, kata Ti, tidak sesuai dengan pengundi Cina.

Sama ada MCA berpeluang membuat kemunculan semula pada Pilihan Raya Umum ke-16, beliau percaya ia bergantung kepada kestabilan dan keadaan ekonomi negara empat tahun dari sekarang. – 26 Disember, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen