Menoktahkan polemik pilihan raya PBT


Fakhrurrazi Rashid

Sistem pilihan raya PBT tidak seharusnya mengikut sempadan Parlimen atau DUN. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Disember, 2023.

SERING kali kita membaca berita tentang kekecewaan penjaja ke atas majlis perbandaran yang bertindak tegas dan merampas barang berniaga kerana didakwa langgar peraturan menjaja. 

Dengan sekelip mata, timbul sentimen seperti pihak berkuasa tempatan (PBT) menindas penjaja bangsa sendiri (selalunya Melayu) dan menghalang untuk maju.  

Sentimen PBT tindas Melayu ini semakin menebal apabila warga asing bebas membuka kedai runcit di kawasan setempat tanpa lesen dan PBT tidak mengambil tindakan tegas terhadap mereka.

Rakyat juga hairan bagaimana kedai Arab boleh beroperasi di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur tanpa lesen PBT. 

Isu-isu ini menunjukkan kelemahan perkhidmatan PBT dalam menjalankan amanah.

PBT dilihat layu dalam mengambil tindakan drastik di mata rakyat, seolah-olah rakyat tempatan tidak boleh buat apa-apa untuk menambah baik situasi ini. 

Lebih teruk lagi rakyat tidak tahu individu dan pegawai PBT yang bertanggungjawab atas isu ini.

Situasi ini secara tidak langsung menyebabkan Datuk Bandar, Ahli Majlis (AM). dan pegawai PB langsung tidak peduli akan aduan rakyat. 

Bagi mereka, rakyat tidak punya kuasa untuk memecat dan menukar mereka daripada PBT. 

Perkara ini menambah beban kepada ahli Parlimen dan Adun yang terpaksa tadah telinga dan mendengar aduan rakyat yang sepatutnya diuruskan PBT.

Penambahan pengundi dan populasi menyukarkan wakil rakyat menguruskan isu kawasan tanpa sokongan PBT. 

Lebih teruk apabila di Kuala Lumpur, ahli Parlimen terpaksa menanggung beban kerja-kerja PBT tanpa bantuan Adun. 

Solusi di depan mata

Solusinya ada di depan mata, yakni pilihan raya PBT. Alat demokrasi ini akan memberi tekanan hebat kepada PBT untuk lebih bertanggungjawab kepada warga tempatan. 

Malangnya, disebabkan minda tersumbat dengan hujah lapuk zaman penjajah dan agenda politik perkauman, keperluan pilihan raya PBT ini terus dipinggirkan.  

Mempunyai PBT yang tidak cekap dan berintegriti adalah satu malapetaka besar untuk ekonomi setempat.

Ada sesetengah PBT mempunyai belanjawan yang lebih besar daripada negeri.  

Contohnya, Belanjawan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) 2023 berjumlah RM2.6 bilion, yakni lebih tinggi daripada Johor (RM 1.73 bilion) dan Negeri Sembilan (RM550 juta).  

Persoalannya, adakah adil jika sebuah PBT yang membelanjakan berbilion atau berjuta ringgit setiap tahun tetapi perkhidmatan menyelesaikan isu setempat gagal dilaksanakan bertahun-tahun? 

Adakah orang awam tahu apakah yang dibelanjakan PBT dengan peruntukan yang besar ini? 

Belanjawan PBT yang besar, tanpa semak dan imbang, boleh menyebabkan ketirisan berlaku dengan mudah.

Laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2020 menyatakan sebanyak 80% rakyat mempunyai persepsi bahawa AM dan pegawai PBT terlibat rasuah. 

Jika SPRM pun sudah mengeluarkan data yang cukup membimbangkan ini, apalah makna pemimpin politik cuba berpolemik menggunakan kanta kaum dan agama untuk menafikan kepentingan pilihan raya PBT? 

Angka tidak menipu

Dakwaan orang Melayu semakin kurang di bandar adalah kenyataan tidak benar.

Berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada 2019, terdapat 57% kaum Bumiputera yang menetap di bandar dan 78.3% berada di luar bandar.

Statistik ini menunjukkan golongan Bumiputera adalah golongan majoriti di kedua-dua kawasan.  

Jadi, apa yang dibimbangi lagi tentang isu kaum dan agama?

Sistem pilihan raya PBT tidak seharusnya mengikut sempadan Parlimen atau DUN.

Contohnya,  Kuala Lumpur mempunyai 11 Parlimen dan 66 sub zon Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWPKL) di bawah DBKL yang dilantik berdasarkan parti pemerintah. 

Bukankah orang Kuala Lumpur berhak memilih 66 orang MPP yang bertindak seperti AM, termasuk Datuk Bandar, melalui pilihan raya PBT?

Pilihan raya PBT bukan untuk kawasan bandar sahaja. Tetapi, ia juga perlu dilaksanakan di kawasan majoriti Melayu seperti Majlis Daerah Rembau, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, Majlis Daerah Gua Musang, dan Majlis Perbandaran Kangar sekalipun. 

Untuk menjalankan pilihan raya PBT, jumlah PBT di Malaysia perlu ditambah. 

Jumlah PBT di Malaysia masih rendah, iaitu sebanyak 149 buah PBT (12 buah Majlis Bandaraya, 39 buah Majlis Perbandaran, dan 98 buah Majlis Daerah) jika dibandingkan Australia yang mempunyai 537 buah PBT dan United Kingdom 343 buah PBT.

PBT di Australia dan UK bersaiz kecil dari segi kadar fiskal dan pentadbirannya.

Boleh tukar sempadan?

PBT yang mempunyai saiz dan fiskal yang besar di Malaysia mencipta ketidakseimbangan kuasa antara kerajaan negeri dan PBT kecil seperti Majlis Daerah yang menjadi faktor pengagihan ekonomi dan pembangunan tidak saksama antara kawasan. 

Jika PBT yang bersaiz besar boleh dikecilkan dan menambah jumlah PBT yang bersaiz kecil, maka agihan ekonomi dapat dirasai rakyat terbanyak.

Peruntukan bersaiz kecil ini dapat memastikan wang PBT digunakan demi kesejahteraan rakyat dan mengelak berlakunya ketirisan serta pemborosan dalam membelanjakan wang pembayar cukai.  

Perubahan sempadan PBT boleh dibenarkan dalam Seksyen 4, Akta Kerajaan Tempatan 1976 yang memerlukan persetujuan menteri, setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya dan kerajaan tempatan. 

Perubahan kepada sempadan PBT dan sistem pilihan raya PBT boleh dikaji oleh Jawatankuasa Pilihan Khas (JPK) Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya, da Reformasi Institusi Dewan Rakyat. 

Agak janggal di era yang serba moden ini, sebahagian daripada rakyat dan pemimpin masih dimomokkan dengan politik kaum yang takut kalah dalam pilihan raya. 

Saya percaya, jika pilihan raya PBT diadakan dan Umno atau PAS menang besar, maka mereka juga akan pastikan pilihan raya PBT perlu diteruskan atas sebab demokrasi.  

Sampai bila ingin berpolemik dan menggunakan hujah lama untuk menghalang kemajuan negara?

Lebih baik ahli politik dan rakyat berbincang bagaimana pilihan raya PBT ini boleh dilakukan dengan demokratik dan adil. 

Mari kita noktahkan polemik pilihan raya PBT yang semakin lama semakin hilang arah tuju. – 20 Disember, 2023.

* Fakhrurrazi Rashid, juga dikenali kawan-kawannya sebagai Bob, minat dengan parlimen yang tidak siapa kisah di Malaysia dan sentiasa mengikuti rapat isu politik semasa.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen