Rakyat Malaysia digesa lakukan ujian kendiri Covid-19


Noel Achariam Desmond Davidson

Persatuan Perubatan Malaysia mengingatkan orang ramai tentang kepentingan ujian kendiri dan kuarantin Covid-19 bagi mencegah penularan virus dan melindungi kumpulan rentan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Disember, 2023.

RAKYAT Malaysia tidak boleh melangkau ujian kendiri dan kuarantin Covid-19 jika ia bergejala, kata Persatuan Perubatan Malaysia (MMA).

Presiden MMA Dr Azizan Abdul Aziz berkata orang ramai mesti peka dengan gejala Covid-19.

“MMA ingin mengingatkan orang ramai tentang kepentingan ujian kendiri dan kuarantin Covid-19 untuk mencegah penularan virus dan melindungi kumpulan yang rentan.

“Dengan kebanyakan kes dilaporkan ringan, terdapat kemungkinan tinggi ramai yang tidak melakukan ujian sendiri apabila mereka mengalami simptom seperti selesema,” katanya.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata 12,757 kes Covid-19 dilaporkan antara 3 dan 9 Disember (minggu epidemiologi ke-49/ME49) berbanding 6,796 kes minggu sebelumnya.

Semalam, Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad berkata arahan baharu untuk suntikan penggalak Covid-19 mungkin dikeluarkan, terutama bagi mereka yang berisiko mendapat komplikasi akibat virus itu.

Dzulkefly berkata kadar pengambilan untuk penggalak Covid-19 kedua ialah 54% manakala kadar untuk penggalak ketiga adalah “agak rendah”.

“Mungkin selepas ini, kementerian mungkin mengeluarkan beberapa arahan untuk dos penggalak, terutama bagi mereka yang berada dalam kumpulan rentan,” katanya.

Azizan berkata MMA bimbang keadaan mungkin bertambah buruk jika orang ramai tidak berwaspada.

“Tanpa ujian kendiri, kuarantin yang diperlukan mungkin dilangkau juga.

“Kami menggesa orang ramai untuk menjalankan ujian kendiri apabila mengalami simptom seperti selesema untuk menolak Covid-19 dan segera mengasingkan diri jika mereka positif Covid-19.”

Beliau berkata mereka yang mempunyai sistem imun yang lemah boleh berisiko dimasukkan ke hospital dan kematian.

“Walaupun Covid-19 kini terkawal di negara ini dan tidak lagi menjadi ancaman kepada majoriti penduduk, ia masih boleh mengancam nyawa warga emas dan mereka yang mempunyai komorbiditi.

“Mereka yang berisiko tinggi dinasihatkan untuk mengambil suntikan dos penggalak yang disyorkan mengikut jadual dan memakai pelitup muka dalam keadaan sesak dan di ruang awam yang kurang pengudaraan.

“Membasuh tangan dengan air dan sabun, atau menggunakan cecair pembasmi kuman (hand sanitizer), yang merupakan tabiat baik yang kita pelajari semasa pandemik, mesti terus diamalkan oleh semua orang.”– 15 Disember, 2023.

Berita penuh di sini



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen