Kumpulan umur 31-40 paling mudah ditipu 'scammer'


Angie Tan

Mangsa penipuan pelaburan kebanyakannya tidak sedar yang 99% pelaburan forex atas talian adalah penipuan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Disember, 2023.

INDIVIDU berusia antara 31 dan 40 tahun paling mudah tertipu dengan ayat manis menyebabkan mereka paling ramai menjadi mangsa penipuan pelaburan, iaitu setakat ini 4,435 laporan dibuat, menurut data statistik polis.

Organisasi bukan kerajaan (NGO), pertubuhan masyarakat sivil dan biro aduan parti politik turut menyokong data berkenaan.

Data menunjukkan 1,099 laporan penipuan pelaburan membabitkan individu berusia 31 hingga 40 tahun, sementara 41 hingga 50 tahun (953 kes) dan 21 hingga 30 (835 kes).

Pengerusi Biro Aduan Awam DAP Wilayah Persekutuan Yew Jia Haur berkata kumpulan individu 31 hingga 40 tahun lebih terdedah kerana “mereka mencari sesuatu untuk melabur”.

“Kumpulan umur ini ada menabung tetapi walaupun selepas lima atau 10 tahun, jumlahnya tidak berkembang banyak. Sebab itulah mereka mahu melabur.

“Maka, keinginan mereka untuk membuat pelaburan adalah tinggi,” katanya.

Yew berkata mangsa juga mungkin terpengaruh dan terinspirasi dengan ahli keluarga yang lebih berumur dan sebelum ini berjaya dalam pelaburan saham atau hartanah.

“Jadi mereka fikir mereka juga boleh dapat wang dengan cara itu.”

Beliau berkata teknologi moden dan permohonan atas talian semakin menarik orang ramai.

“Mereka fikir mereka boleh buat semua transaksi termasuk pelaburan, secara atas talian.

“Mereka rasa tidak perlukan konsultasi dan tidak perlu ke bank, atau mana-mana institusi kewangan untuk mendapatkan nasihat.”

Itu akhirnya menjadi kerugian untuk mereka, kata Yew.

“Jika semuanya dilakukan secara atas talian, kerap terjadi tidak ada cara untuk mengesan semula adakah pelaburan itu atau institusi kewangan yang mereka hubungi itu, wujud atau tidak.”

Katanya, mangsa juga terpedaya dengan kata-kata rakan atau iklan di media sosial.

Yew berkata mangsa ini kebanyakannya tidak sedar yang 99% pelaburan forex atas talian adalah penipuan.

“Saya terima banyak aduan tentang pelaburan online ini. pelaburan ini bukan saja tidak diketahui sumbernya, platform dagangannya juga berpangkalan di luar negara.”

Katanya, sepatutnya ia menjadi tanda amaran jika dagangan dikendalikan oleh broker tidak berlesen. – 5 Disember, 2023.

Berita penuh di sini.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen