Penipuan dalam talian: Henti beri ruang bank elak tanggungjawab


Kes penipuan atas talian dan telefon palsu: Henti beri ruang kepada sektor perbankan elak tanggungjawab, kerajaan harus lindungi pendeposit 

RAMAI rakyat Malaysia menjadi mangsa penipuan (scam) telefon dan atas talian yang menyebabkan wang simpanan mereka dipindah keluar dari bank tanpa persetujuan. 

Walaupun tiada statistik jitu yang dilaporkan, media baru-baru ini melaporkan bahawa antara 2020 sehingga Mei 2022, hampir 72,000 kes penipuan telah dilaporkan, melibatkan kerugian lebih RM5.2 billion. 

Dalam kata lain, setiap hari di Malaysia berlaku lebih 80 kes penipuan menyebabkan rakyat kehilangan hampir RM6 juta. 

Justeru, sudah tiba masanya kerajaan mengambil langkah yang lebih tegas dalam isu ini.

Pertama sekali, sektor perbankan harus diwajibkan untuk memperbaiki sistem keselamatan mereka secara keseluruhan, termasuk proses di sebelah pengguna (consumer-side process). 

Mungkin sistem dalaman bank adalah selamat daripada risiko digodam, namun dengan galakan perbankan atas talian, peranti pengguna seperti telefon bimbit dan komputer peribadi tidak mempunyai keupayaan keselamatan seperti sistem dalaman bank. 

Justeru, sektor perbankan harus dipertanggungjawabkan untuk memperhalusi keseluruhan sistem keselamatan termasuk proses yang melibatkan peranti pengguna. 

Kedua, proses untuk mangsa mendapat kembali wang yang hilang harus dipermudah dan dipercepatkan. Selalunya proses mendapatkan kembali wang mangsa akan mengambil masa beberapa bulan, dan jika bernasib baik wang tersebut akan dikembalikan.

Tetapi dalam banyak keadaan, dengan dasar pada masa kini, pihak bank akan berjaya mencuci tangan dan mangsa tidak mendapat sebarang pampasan setelah menunggu berbulan-bulan lamanya. 

Oleh itu, ketiga, bank tidak seharusnya mudah dilepaskan dengan memberi alasan bahawa semua langkah keselamatan dalaman telah dilaksanakan. 

Dalam banyak kes, dilaporkan bahawa pendeposit tidak pernah mendapat kod kebenaran transaksi, namun wang mereka telah dipindahkan. Pihak bank pula menyatakan bahawa kod tersebut telah dihantar. 

Dalam keadaan ini, dengan dasar masa kini yang berpihak kepada bank, maka akhirnya bank dapat mencuci tangan daripada tanggungjawab mereka. Dasar ini harus digubal agar bank dipertanggungjawabkan ke atas kehilangan wang yang berlaku di tangan mereka. 

Keempat, perlindungan seperti Perbadanan Insuran Deposit Malaysia (PDIM) harus dikembangkan untuk berdepan risiko baharu seperti penipuan atas talian memandangkan perbankan kini melibatkan lebih banyak urus niaga atas talian yang terdedah kepada kes-kes sebegini.

Kelima, pihak penguat kuasa harus meningkatkan kapasiti untuk mengesan, menangkap dan seterusnya mendakwa dalang-dalang kes penipuan ini. Sindiket-sindiket penipuan harus dimusnahkan. 

Yang peliknya, jika perbualan telefon menteri dan ahli-ahli politik pun boleh dikesan, dirakam dan didedahkan, masakan pihak penguat kuasa tidak mampu mengesan scammer yang terbabit melalui perbualan telefon dengan mangsa?

Kerajaan perlu berhenti memberi ruang kepada pihak bank untuk terus berdolak dalih dalam isu ini. Selama ini orang ramai menaruh kepercayaan bahawa wang mereka selamat disimpan di dalam bank, tetapi apabila berlaku kelemahan dalam sistem keselamatan perbankan, pihak bank perlu ambil tanggungjawab dan memainkan peranan mereka. – 24 September, 2022.     

* Steven Sim Chee Keong, ahli Parlimen Bukit Mertajam.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen