BNM umum langkah halang penipuan dalam talian


Gabenor Bank Negara Nor Shamsiah Mohd Yunus hari ini mengumumkan beberapa langkah bagi menghalang penipuan dalam talian melibatkan wang rakyat yang dilihat semakin berleluasa. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 September, 2022.

INSTITUSI kewangan digesa mengambil langkah transaksi yang lebih selamat bagi membendung penipuan dalam talian, kata Bank Negara Malaysia (BNM)

Gabenornya Nor Shamsiah Mohd Yunus mengumumkan beberapa langkah yang perlu diambil oleh bank-bank termasuk beralih daripada kata laluan sekali (OTP) SMS, ketika jenayah siber semakin berleluasa.

“Ini satu perkembangan yang membimbangkan. BNM pandang serius, lebih-lebih lagi kes ini membabitkan penipuan kewangan,” katanya pada pelancaran pameran jenayah kewangan bank pusat itu.

Tambahnya bank-bank utama telah memulakan peralihan daripada sistem SMS OTP untuk aktiviti dan transaksi dalam talian yang melibatkan pembukaan akaun, pemindahan dana, pembayaran dan perubahan kepada maklumat peribadi serta tetapan akaun.

Kedua, Nor Shamsiah berkata, institusi kewangan akan mengetatkan lagi peraturan pengesanan penipuan dan menyekat transaksi penipuan yang disyaki. Pelanggan akan segera dimaklumkan apabila sebarang aktiviti sedemikian yang melibatkan akaun perbankan mereka dikesan.

“Sebagai langkah tambahan, institusi kewangan akan menyekat transaksi seperti itu dan pelanggan akan diminta mengesahkan ketulenan transaksi berkenaan terlebih dahulu sebelum sekatan dibatalkan,” katanya.

Menurut Nor Shamsiah, langkah lain untuk mencegah penipuan dalam talian termasuk tempoh bertenang untuk pendaftaran kali pertama perkhidmatan perbankan dalam talian atau peranti selamat, di mana tiada aktiviti perbankan dalam talian boleh dijalankan.

Pelanggan juga akan dihadkan kepada satu peranti mudah alih atau selamat untuk pengesahan transaksi perbankan dalam talian, manakala institusi kewangan dikehendaki menyediakan talian hotline khusus untuk pelanggan melaporkan penipuan kewangan.

BNM juga telah mengarahkan bank supaya lebih responsif terhadap laporan penipuan yang dibuat oleh pelanggan serta memudahkan usaha mendapatkan semula dan melindungi wang yang dicuri.

“Bank dikehendaki menyediakan pelanggan cara mudah untuk menggantung akaun mereka jika mereka syak yang mereka telah dikompromi.

“Pelanggan hanya dapat aktifkan semula akaun selepas tempoh yang munasabah bagi memastikan akaun mereka selamat.”

“BNM juga akan terus memantau dan mengambil tindakan sewajarnya ke atas institusi kewangan bagi memastikan tahap kawalan dan piawaian keselamatan tertinggi dipatuhi,” kata Nor Shamsiah.

Selain itu, BNM akan mengukuhkan hubungan dengan polis, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) untuk mengukuhkan peranan Pusat Tindak Balas Penipuan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial sebagai platform perkongsian maklumat sistematik untuk membolehkan tindakan lebih pantas.

Bagaimanapun, tambah Nor Shamsiah pelanggan boleh memainkan peranan dalam mengurangkan bilangan penipuan dalam talian dengan tidak memasang aplikasi mencurigakan yang mungkin membawa perisian intip dan malware.

“Dalam melaksanakan langkah-langkah ini, BNM dan industri kewangan akan terus mengimbangi dengan teliti antara pertimbangan keselamatan dan kemudahan pelanggan,” katanya. – 26 September, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen