PRK Kemaman: Hujan dijangka pada hari pengundian pada Sabtu


CUACA diramalkan hujan pada hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman, Sabtu ini.

Berdasarkan laman sesawang Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hujan dijangka melanda daerah Kemaman dari pagi sehingga petang.

Sehubungan itu Pengarah Meteorologi Terengganu Rosli Zakaria mengingatkan para pengundi supaya berhati-hati semasa memandu dan menjaga keselamatan diri pada Sabtu ini.

“Para pengundi dan orang ramai juga perlu peka dengan keadaan cuaca serta perubahan persekitaran dan dapatkan status cuaca serta paras air sungai yang terkini sebelum melakukan apa-apa aktiviti,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Orang ramai juga boleh mendapatkan maklumat cuaca yang terkini daripada hotline MetMalaysia di talian 1-300-22-1638.

PRK Kemaman diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lepas yang membatalkan kemenangan calon PAS Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.

PRK tersebut menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN) Jeneral (B) Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dengan Menteri Besar Terengganu Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang mewakili PAS. – Bernama, 30 November, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen