Meninjau setahun kepimpinan Anwar di Putrajaya


Fakhrurrazi Rashid

Secara umumnya, kepimpinan Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri ke-10 masih belum dirasai oleh rakyat terbanyak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 November, 2023.

PELBAGAI analisis dan kupasan diberikan setahun selepas Anwar Ibrahim mengangkat sumpah menjadi perdana menteri ke-10. Secara umumnya, kepimpinan Anwar masih belum dirasai oleh rakyat terbanyak.

Tekanan mula dirasai dari sudut ekonomi apabila tinjauan awam masih kurang merasai impak dasar dan inisiatif kerajaan perpaduan kepada kesejahteraan rakyat. 

Namun, masih ramai yang optimis dengan kepimpinan Anwar melakukan perubahan yang boleh menguntungkan rakyat dan negara.

Kekecewaan mereka itu tidaklah sampai inginkan bekas perdana menteri terdahulu menggantikan Anwar di Putrajaya.

Sebenarnya, situasi hari ini cukup mencabar buat Anwar.

Dia terpaksa buat banyak kerja seperti menstabilkan kedudukan politik negara, memperbaharui struktur ekonomi yang lemah, dan cuba meletakkan Malaysia sebagai negara yang mementingkan keamanan sejagat di peringkat global. 

Perkara ini tidak dilalui Muhyiddin Yassin dan Ismail Sabri Yaakob, yang lebih tertumpu kepada politik dan ekonomi domestik.

Kedua-dua bekas perdana menteri ini hanya memfokuskan fasa pemulihan Covid-19 dan kurang memainkan peranan di peringkat antarabangsa.

Setahun pentadbirannya, meskipun cabaranya masih tinggi, Anwar menampilkan pembaharuan kepimpinan yang signifikan dalam mengangkat nilai demokrasi dan ketegasan mempertahankan kepentingan Malaysia di peringkat global.

Perdana menteri demokratik

Kepimpinan Anwar sebenarnya telah memperluas perspektif rakyat terhadap tugas sebenar perdana menteri, khususnya kepada institusi Parlimen.

Berbeza dengan amalan perdana menteri sebelum ini yang kerap memanipulasi Parlimen, Anwar cukup menghormati konsep pemisahan kuasa antara eksekutif dan Parlimen.

Anwar tidak berdepan masalah untuk hadir dan menjawab pertanyaan di Parlimen, termasuk berdepan dengan kritikan pembangkang.

Pendirian perdana menteri ini menyukarkan pembangkang untuk menimbulkan persoalan kritis yang boleh mempersoalkan kelemahan perdana menteri.

Tetapi, pembangkang pula begitu lemah dalam mengemukakan idea dan persoalan bernas bagi menimbulkan permasalahan dalam dasar kerajaan.

Sebaliknya, Anwar pula yang menekan pembangkang sehingga terkeluar semua kelemahan yang ada.

Untuk mengatakan komitmen perdana menteri kepada Parlimen adalah perkara kecil dan remeh adalah satu pandangan kurang tepat.

Hubungan Anwar dan Parlimen ini membuktikan badan eksekutif dan perundangan bersedia untuk mentadbir negara atas kepentingan rakyat secara demokratik. 

Episod Parlimen dibungkam ketika pandemik dan darurat, perlu menjadi asas kepada semua pemimpin dan rakyat Malaysia tentang keburukan mempunyai seorang perdana menteri yang autokratik dan mementingkan kuasa tanpa mempedulikan batasan Perlembagaan Persekutuan dan kepentingan rakyat. 

Begitu juga komitmen Anwar memulakan proses pengasingan kuasa peguam negara dan pendakwa raya bagi memastikan tatakelola negara berjalan dengan telus tanpa campur tangan pihak berkepentingan seperti yang pernah dilakukan kerajaan terdahulu.

Suara Malaysia kembali lantang

Kekuatan Anwar di peringkat antarabangsa dan serantau telah meletakkan Malaysia kembali di peta dunia.

Perdana menteri telah memperkukuh pendirian Malaysia sebagai kuasa “Middle Power” demi mencapai keamanan dan kestabilan serantau yang akhirnya membawa kelebihan ekonomi kepada Malaysia. 

Malangnya, usaha Anwar di peringkat global ini sering diperlecehkan dengan politik domestik bercorakkan politik kepartian, termasuk provokasi di media sosial.

Segelintir pihak mengkritik ketegasan Anwar dalam memperjuangkan hak Palestin sebagai emosi, populis, dan menjejaskan ekonomi Malaysia di peringkat antarabangsa.

Faktanya, dasar berkecuali Malaysia telah diguna pakai sejak 1970-an lagi.

Meskipun Malaysia merupakan negara berdagang yang kecil, pendirian ini memperkukuh suara Malaysia dalam memastikan keamanan sejagat tercapai, termasuk memperjuangkan nasib negara membangun atau Global South dalam aspek ekonomi. 

Dari, sisi yang berbeza, modul dan dasar Malaysia ini telah menjadi contoh kepada negara membangun yang lain kerana sifat praktikalnya yang amat menguntungkan dalam mencari keseimbangan kuasa dan perdagangan antarabangsa yang lebih inklusif.

Justeru, untuk menyifatkan ketegasan Anwar sebagai emosi semata-mata adalah kurang tepat.

Keberanian beliau membangkitkan kepentingan Palestin di hadapan presiden Amerika Syarikat di persidangan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) 2023 adalah satu pendirian demi menyelamatkan nyawa di Palestin.

Di sebalik ketegasan ini, Malaysia memperoleh pelaburan lebih RM 60 billion hasil daripada usaha Anwar di Apec 2023.

Masih ada ruang?

Kepimpinan Anwar dalam tempoh setahun ini meletakkan asas baharu bagaimana seorang perdana menteri perlu memainkan fungsinya dengan baik dan berkesan.

Adakah ketokohan Anwar ini cukup untuk melihat pembaharuan di Malaysia? Sudah pasti tidak.

Hakikatnya, kepimpinan perdana menteri ini akan lebih dirasai kesan positifinya jika jentera pelaksanaan dasarnya seperti penjawat awam memahami matlamat yang mahu dicapai perdana menteri. 

Di peringkat ini, perdana menteri perlu menitikberatkan kemampuan penjawat awam untuk melaksanakan dasar dengan baik dan tidak berada di takuk lama bermain politik karenah birokrasi yang memperlahankan pembaharuan.

Penjawat awam harus terbuka menerima dan melaksanakan pembaharuan demi kesejahteraan rakyat terbanyak. 

Jemaah menteri kerajaan perpaduan seharusnya sedar bahawa pendekatan populis dalam menyelesaikan isu tidak akan memberi satu nilai tambah kepada keyakinan rakyat kepada kepimpinan Anwar.

Tanpa pembaharuan dasar yang jelas, ia akan menjejaskan aspek kesejahteraan rakyat dan negara yang kini masih berdepan dengan pelbagai cabaran yang tidak menentu.

Kenyataan Anwar untuk memulakan langkah drastik memulihkan ekonomi negara selepas setahun pentadbirannya di Putrajaya hanya akan berlaku jika jentera kerajaan dan jemaah menteri benar-benar komited melaksanakan dasar-dasar ini.

Jika tidak, perdana menteri terpaksa menanggung beban untuk menjawab kritikan daripada orang awam yang masih dahagakan perubahan.

Perjalanan perdana menteri ke-10 ini masih panjang dan mencabar. Persoalannya, adakah Anwar mampu membawa pembaharuan?

Mampukah tahun kedua ini memberi perubahan yang diinginkan rakyat? Sama-sama kita analisis dan perhatikan. – 29 November, 2023.
 

* Fakhrurrazi Rashid, juga dikenali kawan-kawannya sebagai Bob, minat dengan parlimen yang tidak siapa kisah di Malaysia dan sentiasa mengikuti rapat isu politik semasa.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen