4,000 warga Iceland dipindah susulan kebimbangan gunung berapi


Penduduk melihat letusan gunung berapi yang berlaku di Litli Hrutur, barat daya Reykjavik, Iceland pada 13 Julai 2023. – Gambar AFP, 11 November 2023.

KIRA-KIRA 4,000 penduduk yang mendiami bandar Reykjavik di Iceland dipindahkan semalaman selepas ratusan gegaran mencetuskan kebimbangan berlakunya letusan gunung berapi, kata pihak berkuasa hari ini.

Semalam, Iceland mengisytiharkan darurat selepas beberapa siri gempa bumi kuat menggegarkan semenanjung Reykjanes di barat daya negara itu, yang boleh menjadi tanda awal kepada letusan gunung berapi berhampiran Sundhnjukagigar, kira-kira tiga kilometer (1.86 batu) di utara bandar Grindavik.

Pekan itu – kira-kira 40 kilometer di barat daya Reykjavik – terletak berhampiran pusat peranginan spa geoterma Blue Lagoon, destinasi pelancongan popular yang ditutup buat sementara waktu awal minggu ini sebagai langkah berjaga-jaga.

Grindavik juga berhampiran loji geoterma Svartsengi, pembekal utama elektrik dan air kepada 30,000 penduduk di semenanjung Reykjanes.

Iceland mempunyai 33 sistem gunung berapi aktif, jumlah tertinggi di Eropah.

Jabatan Meteorologi Iceland pada mulanya berkata, letusan kemungkinan besar akan berlaku “dalam tempoh beberapa hari”, kerana magma diperhatikan terkumpul di bawah permukaan bumi pada kedalaman kira-kira lima kilometer selama beberapa hari.

Bagaimanapun, lewat semalam jabatan menyatakan aktiviti seismik bergerak lebih dekat ke permukaan dan magma mula naik secara menegak ke arah kerak bumi antara Sundhnjukagigar dan Grindavik –  menunjukkan letusan boleh berlaku lebih awal.

Pihak berkuasa memutuskan untuk mengosongkan Grindavik selepas Jabatan Meteorologi berkata terdapat “kemungkinan gangguan magma meluas di bawah Grindavik.”

“Pada peringkat ini, tidak mungkin untuk menentukan sama ada dan di mana magma boleh sampai ke permukaan,” katanya. – AFP, 11 November, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen