Nama ahli Parlimen ponteng mungkin dipapar di laman web, kata Speaker


Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul berkata nama ahli Parlimen yang sengaja tidak hadir atau ponteng sidang Parlimen mungkin akan dipaparkan di laman web Dewan Rakyat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 November, 2023.

NAMA ahli Parlimen yang didapati dengan sengaja tidak hadir atau ponteng sidang Parlimen mungkin akan dipaparkan di laman web Dewan Rakyat supaya pengundi kawasan Parlimen mereka maklum mengenai perkara itu.

Speaker Dewan Rakyat, Johari Abdul berkata ia antara beberapa penambahbaikan yang akan dilaksanakan bagi meningkatkan kehadiran ahli Parlimen dalam sidang Dewan Rakyat kerana mereka mempunyai tugas dan tanggungjawab terhadap pengundi serta kawasan Parlimen masing-masing.

Katanya, cadangan itu akan dibincangkannya dengan jawatankuasa Parlimen yang turut dianggotai ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.

“Saya akan bincang perkara ini kerana saya tidak boleh terus berikan arahan. Selepas perbincangan akan putuskan bila akan mula.

“Seelok-eloknya kita mulakan (paparkan nama di laman web) secepat mungkin, mungkin pada persidangan yang akan datang, ini antara penambahbaikan yang kita akan buat kerana ia akan berikan peluang kepada masyarakat yang memilih mereka bertanya di manakah ahli Parlimen berkenaan menghilangkan diri,” katanya di Georgetown, Pulau Pinang hari ini.

Johari, yang merupakan Ahli Majlis Pengakap Negara, ditemui selepas merasmikan Persidangan Pertubuhan Kerjasama Serantau Pengakap Asean (ASARC) ke-18 yang turut dihadiri pemimpin pengakap dari negara Asean.

Katanya, beliau faham ahli Parlimen mempunyai banyak tugas dan ada antara mereka tidak dapat menghadiri sidang Dewan Rakyat kerana terpaksa menghadiri mesyuarat di lokasi lain dan ada juga yang perlu melaksanakan tugas di luar negara.

“Mana-mana ahli Parlimen yang tidak hadir bersebab mereka boleh terus maklumkan kepada Speaker bertugas, sekurang-kurangnya kita tidak akan menganggap mereka ponteng sidang Dewan Rakyat,” katanya.

Beliau menyifatkan gejala ponteng sidang Dewan Rakyat dalam kalangan ahli Parlimen tidak serius kerana mereka masih menghadiri persidangan kecuali mempunyai tugas di luar ketika sidang berlangsung. – Bernama, 4 November, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen