Jangan 'serang' speaker, kata Johari 


Yang Dipertua Dewan Rakyat Johari Abdul mengingatkan ahli dewan agar tidak melibatkan beliau dalam permainan politik. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Oktober, 2023.

YANG Dipertua Dewan Rakyat Johari Abdul hari ini mengingatkan semua ahli Parlimen agar tidak “menyerang” atau mempersoal keputusan yang dibuat oleh speaker pada sesi persidangan Parlimen. 

Beliau turut mengingatkan ahli dewan agar tidak melibatkan beliau dalam permainan politik kerana peranannya selaku Yang Dipertua Dewan Rakyat hanyalah untuk menyelesaikan isu rakyat, dan tindakan menyerang speaker tidak memberi sebarang manfaat. 

“Saya tidak dilantik oleh mana-mana parti, saya dipilih bawah Perlembagaan, untuk itu saya dipilih oleh ahli-ahli Parlimen… if you don’t like me, put a motion that’s all,  get me out of here, tetapi as long as I’m here, bila ada peraturan-peraturan mesyuarat listenlah, sebab I don’t play games here, I don’t play any political game.

(… jika kalian tidak sukakan saya, buat usul gugurkan saya, tetapi selagi saya di sini, bila ada Peraturan-Peraturan Mesyuarat, patuhilah, sebab saya bukan main-main, saya tidak terlibat dalam permainan politik)

“Saya memohon sangat, please do not fight with Speaker because you will not gain anything by fighting with Speaker, I try to do my job untuk selesaikan masalah rakyat,” katanya sebelum memulakan sesi perbahasan Rang Undang-undang Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Pindaan) 2023 di Dewan Rakyat, di Kuala Lumpur hari ini.

(… janganlah melawan speaker kerana anda tidak akan dapat sebarang faedah bergaduh dengan speaker, saya cuba laksanakan tugas saya untuk selesaikan masalah rakyat)

Beliau berkata demikian selepas Shahidan Kassim (PN-Arau) mempersoal keputusan speaker membenarkan usul Dr Mohammed Taufiq Johari (PH-Sungai Petani) dibawa ke Kamar Khas terlebih dahulu walaupun Shahidan mengemukakan usulnya lebih awal daripada wakil rakyat penyokong kerajaan itu.

“Arau telah memasukkan usul di bawah Peraturan 18 (1), satu usul pada 10 Oktober, Selasa pada 3.45 petang dan kedua hari Rabu 11 Oktober, 5.34 petang tapi usul yang Arau bawa bukan isu padi, (tetapi) isu penyalahgunaan kuasa kakitangan awam kanan dalam kempen politik.

“Keduanya, isu kekurangan tenaga kerja tempatan dalam bidang kejururawatan dan sektor kedai gunting rambut, jadi tidak sangkut paut dengan isu padi yang disorok, jadi saya kira apa yang Arau bangkitkan bahawa saya tidak berlaku adil, tidak memberikan peluang untuk beliau berucap, adalah salah,” kata Johari. 

Terdahulu, Dewan Rakyat dimaklumkan usul dikemukakan Dr Mohammed Taufiq mengenai isu penyorokan 180 tan beras oleh sebuah kilang di Kedah diterima untuk dirunding di Kamar Khas pada 2.30 petang ini.

Timbalan Yang Dipertua Alice Lau Kiong yang mempengerusikan mesyuarat ketika itu, menjelaskan bahawa keputusan penerimaan usul tersebut dibuat atas pertimbangan Timbalan Yang Dipertua Ramli Mohd Nor.

“Beliau (Ramli) sudah meneliti dan didapati usul itu tertentu, berkepentingan orang ramai dan perlu disegerakan,” kata Lau.

Bagaimanapun, keputusan itu mencetuskan sedikit kekecohan apabila Awang Hashim (PN-Pendang) mengeluarkan kenyataan “anak papa” dan konflik kepentingan semasa Shahidan bangkit meminta penjelasan Lau berhubung usul beliau yang belum mendapat jawapan.

Kenyataan Awang itu mencetuskan ketidakpuasan hati beberapa ahli Parlimen daripada blok kerajaan. – Bernama, 12 Oktober, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen