Ahli Parlimen dilarang buat penstriman langsung di Parlimen, kata Johari


Kalidevi Mogan Kumarappa

Yang Dipertua Dewan Rakyat Johari Abdul berkata ahli Parlimen tidak lagi dibenarkan membuat penstriman langsung menerusi media sosial mereka ketika sedang berucap di Dewan Rakyat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Oktober, 2023.

SEMUA ahli Parlimen tidak lagi dibenarkan untuk membuat penstriman secara langsung di media sosial menggunakan peranti peribadi ketika menyampaikan ucapan pada sesi persidangan Dewan Rakyat mulai hari ini.

Ketetapan itu dibuat Yang Dipertua Dewan Rakyat Johari Abdul mengikut Peraturan Mesyuarat 35 (1) yang mana Ahli-ahli Parlimen yang berucap perlu mengarahkan sebarang ucapan kepada Pengerusi.

“Tindakan beberapa Ahli Yang Berhormat berucap dengan tidak mengarahkan ucapan itu kepada Pengerusi dan memandang peranti yang dipasang jelas tidak mematuhi peraturan berkenaan.

“Untuk memastikan Yang Berhormat mematuhi Peraturan Mesyuarat 35 (1), saya dengan ini menetapkan bahawa Ahli-Ahli Yang Berhormat tidak lagi dibenarkan untuk memasang sebarang peranti bagi membuat ‘live streaming’ (penstriman langsung) dalam Dewan Rakyat,” katanya pada permulaan sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Katanya, ketetapan itu dibuat selepas mendapati trend ahli Parlimen memasang peranti seperti telefon bimbit di meja masing-masing untuk membuat penstriman langsung semakin meningkat sejak kebelakangan ini.

Johari berkata semua ucapan ahli Parlimen dapat ditonton melalui beberapa siaran rasmi yang dibenarkan berbuat demikian dan tiada keperluan untuk penstriman secara peribadi.

“Untuk makluman, ucapan Yang Berhormat boleh ditonton melalui siaran langsung sidang Dewan Rakyat di YouTube rasmi Parlimen Malaysia, RTM dan media massa yang lain. Diharap agar ahli Yang berhormat dapat memberi kerjasama dalam perkara ini,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Menjawab celahan Dr Ronald Kiandee (PN-Beluran) yang tidak bersetuju dengan arahan tersebut, Johari menjelaskan tindakan itu dilakukan apabila beliau mendapati ahli Parlimen hilang fokus di Dewan Rakyat apabila bercakap atau berinteraksi dengan audiens menerusi media sosial. – 16 Oktober, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen