Keluarga tuntut perkembangan terkini rayuan kes bunuh Nhaveen


Ravin Palanisamy

Mendiang T Nhaveen, 18, diserang dalam satu insiden di Jalan Bunga Raya, antara jam 11 malam hingga tengah malam pada 9 Jun, 2017. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Oktober, 2023.

KELUARGA mendiang T. Nhaveen menggesa Jabatan Peguam Negara (AGC) memaklumkan perkembangan terkini berkenaan rayuan mereka terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membebas dan melepaskan lima lelaki daripada pertuduhan membunuh dan mencederakan remaja itu enam tahun lalu.

Pengerusi Liga Tindakan & Siasatan Nhaveen (NAIL) Arun Dorasamy berkata sehingga kini keluarga mendiang Nhaveen masih tiada sebarang maklumat terbaharu daripada daripada AGC mengenai kes tersebut.

“Kami sangat kecewa kerana AGC masih belum maklumkan apa-apa walaupun surat sudah dikemukakan untuk mengetahui siapa peguam kanan persekutuan yang bertanggungjawab dalam kes ini.

“Semua surat dialamatkan kepada Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan AGC Mohd Dusuki Mokhtar. Tiga pucuk surat dihantar tetapi kami masih belum terima sebarang jawapan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Pada 3 Oktober lalu, lima rakan dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Pulau Pinang atas pertuduhan mencederakan dan membunuh mendiang Nhaveen ketika itu berusia 18 tahun pada 2017.

Keputusan itu dibuat Hakim Radzi Hamid selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap kelima-lima tertuduh di akhir kes pendakwaan.

AGC telah memfailkan rayuan terhadap keputusan mahkamah itu.

Mengulas lanjut, Arun berkata keluarga mendiang Nhaveen masih ternanti-nanti mengenai perkembangan kes anak mereka itu.

“Kami tak tahu apa status kes ini. Ibu mangsa, Shanti Dorairaj, berhak tahu apa yang berlaku.

“Keluarga Nhaveen bukan mahu mengganggu tuga AGC, mereka cuma mahu perkembangan terkini.

“Kalau mereka terlalu banyak urusan atau kes untuk dikendalikan, jadi benarkan ibu Nahveen lantik peguam persendirian,” katanya.

Arun sebelum ini berkata keluarga mendiang Nhaveen telah memohon kerajaan pertimbang untuk melantik peguam terkemuka V Sithambaram mewakili pendakwaan di peringkat rayuan. – 27 Oktober, 2023.

Berita penuh di sini



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen