Parlimen perlu bincang keputusan lepaskan Zahid, kata AMK


PARLIMEN perlu mengadakan persidangan tergempar bagi membincangkan keputusan melepaskan Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi dari tuduhan rasuah, kata pemimpin pemuda PKR.

Naib Ketua AMK Malaysia Tyra Hanim Razali menggesa demikian kerana mengesyaki keputusan Jabatan Peguam Negara tersebut bermotifkan politik.

“Untuk menjernihkan keadaan, AMK menggesa kerajaan mengadakan satu sesi Parlimen tergempar supaya (keputusan membebaskan Zahid) dibahaskan…” katanya.

Selain itu, Jabatan Peguam Negara perlu diberikan tempoh untuk menyiasat bagi melakukan pendakwaan semula dengan segera.

“(Pendakwaan dan siasatan) perlulah dilakukan dalam kadar serta merta jika sekalian pimpinan kerajaan perpaduan tidak mahu kehilangan kredibiliti yang kelak akan menyukarkan lagi pentadbiran Malaysia Madani,” katanya. 

 

Tyra berkata, keputusan melepaskan Zahid menunjukkan wujud plot terancang oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Kenyataan jabatan itu pada Selasa lalu juga menimbulkan lebih banyak tanda tanya dan beliau bimbang perkembangan itu menjejaskan kewibawaan kerajaan perpaduan.

“AMK mempersoalkan kredibiliti Jabatan Peguam Negara yang kelihatannya seperti mempunyai motif politik terhadap kes ini,” katanya.

Jabatan tersebut dalam kenyataannya menyebut keputusan untuk melepaskan Zahid dalam tuduhan melibatkan 47 tuduhan itu dibuat berpandukan

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas tanpa membebaskan Zahid daripada semua 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram berkait dana Yayasan Akalbudi.

Hakim Collin Lawrence Sequerah berkata keputusan itu dibuat untuk membenarkan siasatan lanjut oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan menambah kes itu masih terbuka

Tyra bagaimanapun berkata permohonan itu mencurigakan kerana dibuat sejurus sebelum peguam negara baharu Ahmad Terriruddin Mohd Salleh mengambil alih jawatan daripada Idrus Harun.

Idrus tamat tempoh lantikan secara kontrak pada Selasa, sehari selepas mahkamah melepaskan tanpa membebaskan Zahid dari 47 tuduhan tersebut.

Selain itu, Tyra juga membangkitkan mengenai permohonan persaraan bekas timbalan pendakwa raya kes itu, Raza Rozla Raja Toran yang berjaya membukitkan kes prima facie ke atas Zahid.

Tyra seterusnya memberi amaran pengundi bakal menghukum kerajaan pimpinan Pakatan Harapan kerana perkembangan kes tersebut akan melunturkan keyakinan rakyat.

“... Kita tidak dapat nafikan bahawa kejadian ini sekaligus melemahkan imej kerajaan perpaduan sebagai penongkah arus perubahan dan reformasi, serta mengurangkan keyakinan rakyat terhadap Malaysia Madani utama di tengah ribut pilihan raya kecil Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram.– 7 September, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen