Bersih gesa moratorium DNAA bagi kes berprofil tinggi


Bersih menggesa pelaksanaan moratorium DNAA selepas AGC menarik balik kesemua 47 pertuduhan rasuah terhadap Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 September, 2023.

PUTRAJAYA dan Peguam Negara Ahmad Terrirudin Mohd Salleh harus mengenakan moratorium ke atas permohonan untuk dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) bagi kes berprofil tinggi, kata Bersih.

Bersih berkata badan kehakiman harus dibenarkan untuk menentukan sama ada mereka yang didakwa bersalah atau tidak - tanpa sebarang campur tangan daripada peguam negara atau pimpinan politik.

Ini termasuk kes melibatkan ahli politik, iaitu bekas perdana menteri Najib Razak dengan kes yang sedang berjalan dan tertangguh; kes isterinya Rosmah Mansor yang sedang berjalan; Lim Guan Eng; Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan kes lain.

Gesaan Bersih dibuat selepas Jabatan Peguam Negara (AGC) menarik balik kesemua 47 pertuduhan rasuah terhadap Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi.

Minggu lepas, AGC berkata terdapat alasan kukuh untuk memberikan Zahid DNAA.

Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah membenarkan pihak pendakwaan membebaskan Zahid daripada pertuduhan pecah amanah jenayah, rasuah dan pengubahan wang haram berhubung dana Yayasan Akalbudi.

Pihak pendakwaan berkata ia ingin menghentikan prosiding bagi memberi laluan kepada siasatan lanjut kes itu.

Bersih juga berkata Zahid perlu didakwa semula selepas siasatan baharu kes Yayasan Akalbudi dibuat.

“Sempena Hari Malaysia yang ke-60, kami menuntut kewarasan semua parti politik dan wakil rakyat untuk mempertahankan kemerdekaan dengan menegakkan kedaulatan undang-undang serta kerajaan yang bersih. 

“Kami mengulangi semula seruan kami supaya terjalinnya perjanjian damai antara parti untuk mencegah sebarang ugutan politik daripada rakan kongsi kerajaan campuran,” katanya dalam satu kenyataan sempena Hari Malaysia hari ini.

Bersih juga berkata rayuan AGC terhadap kes Sistem Visa Luar Negara (VLN) melibatkan Zahid yang membawa 40 pertuduhan rasuah tidak akan dibuang dengan mudah atas beberapa alasan teknikal.

“Kegagalan pihak pendakwaan terlepas tarikh akhir memfailkan rayuan terhadap Najib dan bekas presiden 1MDB Arul Kanda Kandasamy dalam kes pindaan laporan audit 1MDB, menyebabkan pembebasan mereka mesti disiasat dan kecuaian pegawai AGC yang bertanggungjawab perlu dihukum sewajarnya.

“Sekiranya Najib dipenjarakan tahun lepas kerana beliau sudah tidak lagi berkuasa namun berjalan bebas esok kerana parti beliau berkuasa semula, maka mesej kepada rakyat Malaysia adalah sangat jelas: ‘kamu tidak bersalah sehinggalah kamu hilang kuasa, dan kamu menjadi suci semula selepas kamu berkuasa semula’. Ia akan menghancurkan keyakinan orang ramai terhadap sistem politik kita dan menghasilkan sinis politik.”

Bersih menambah bahawa implikasinya akan membawa malapetaka kerana mana-mana penjenayah yang mahu melarikan diri hanya perlu memenangi pilihan raya umum akan datang dan menukar AG. – 16 September, 2023.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen