Putrajaya guna gerakan anti-Lynas untuk kepentingan politik, kata Wong Tack


Desmond Davidson

Ahli Parlimen Bentong Wong Tack membidas Putrajaya yang dilihat hanya mempergunakan gerakan anti-Lynas untuk kepentingan politik.– Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Oktober, 2023.

AHLI Parlimen Pakatan Harapan membidas Putrajaya berhubung lanjutan lesen lombong nadir bumi Lynas dan berkata pusingan U berulang oleh ahli politik membuktikan mereka hanya mempergunakan gerakan anti-Lynas untuk kepentingan politik.

Ahli Parlimen Bentong Wong Tack, dalam satu kenyataan hari ini\ berkata, apabila kerajaan PH melanjutkan lesen pelombong itu selepas berkuasa pada 2018, kesalahan itu kemudiannya disandarkan kepada perdana menteri ketika itu Dr Mahathir Mohamad walaupun keputusan itu semata-mata budi bicara menteri yang bertanggungjawab.

Apa yang mengecewakan kata Wong, kerajaan PH “terus cuba menarik perhatian rakyat”.

Putrajaya pada Selasa mengumumkan akan membenarkan Lynas, yang beroperasi di Pahang sejak 2012, mengimport bahan mentah yang mengandungi bahan radioaktif semula jadi dan memproses nadir bumi sehingga Mac 2026 selepas timbul pertikaian yang berlarutan.

Wong berkata kerajaan bersetuju untuk melanjutkan lesen Lynas dan menarik balik syarat “meretak dan larut lesap” hanya kerana Lynas berkata mereka boleh mengeluarkan torium daripada bahan mentah dan sisa radioaktif mereka, yang kemudiannya boleh dijual.

Itu katanya, seperti sudah banyak kali kedengaran.

“Saya pasti ramai yang ingat bahawa Lynas juga pernah berkata sisa mereka boleh dikitar semula menjadi bahan binaan dan baja.

“Sukar dipercayai untuk melihat penggubal dasar kita terus percaya dengan benda yang sama dan helah lama yang sama sejak 12 tahun lalu. Adakah mereka bodoh atau hanya buat-buat bodoh?” katanya.

Wong berkata jika menteri itu, yang merujuk kepada Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang, benar-benar meletakkan kesejahteraan rakyat melebihi keuntungan korporat, beliau mesti terlebih dahulu memaksa Lynas untuk membuktikan “eksperimen” mereka berjaya dengan mengarahkannya untuk segera mengeluarkan torium daripada lebih sejuta tan sisa radioaktif yang telah mereka simpan.

“Adalah sangat tidak bertanggungjawab untuk menteri melanjutkan lesen Lynas dan membenarkan mereka menjana lebih banyak sisa apabila sisa sedia ada tidak diuruskan dengan selamat,” katanya. – 25 Oktober, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen