Ahli Parlimen DAP bantu Orang Asli Bera pertahan tanah adat


Ahli Parlimen Bentong Wong Tack dan Ahli Parlimen Raub Tengku Zulpuri Shah Raja Puji membentuk satu badan bertindak bagi membantu Orang Asli Semelai di Kg Lubuh Perah di Bera, Pahang untuk membela hak tanah adat masyarakat itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 April, 2021.

DUA ahli Parlimen DAP membentuk satu badan bertindak bagi membantu Orang Asli Semelai di Kg Lubuh Perah di Bera, Pahang untuk membela hak tanah adat masyarakat itu.

Ahli Parlimen Bentong Wong Tack dan Ahli Parlimen Raub Tengku Zulpuri Shah Raja Puji dalam satu kenyataan berkata isu tersebut sudah berlarutan lebih tujuh tahun sejak pentadbiran bekas menteri besar Pahang Adnan Yaakub lagi. 

“Kami akan berusaha membantu masyarakat Orang Asli kaum Semelai di Kampung Lubuk Perah, Bera, untuk membela hak Tanah Adat dan kawasan rayau mereka.

“Kes ini berlarutan lebih tujuh tahun semenjak pemerintahan mantan menteri besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakub lagi. Perkara ini juga pernah dibawa ke dalam sidang DUN negeri Pahang yang lalu.

“Kerajaan negeri Pahang tidak pernah mengadakan perbincangan secara terus dan telus dengan masyarakat Orang Asli di sini, malah terus memajakkan tanah seluas 903 ekar ini kepada anak Syarikat Sri Jengka,” kata mereka, merujuk kepada syarikat yang meneroka tanah adat Orang Asli untuk mengusahakan penanaman kelapa sawit.

Wong dan Tengku Zulpuri berkata sejarah telah membuktikan masyarakat Orang Asli Semelai telah berada di Kg Lubuh Perah sejak beratus tahun yang lalu.

“Semasa peperangan dan penjajahan Inggeris dan Jepun bermula kira-kira 200 tahun lalu, pihak Inggeris pernah memindahkan masyarakat ini ke beberapa tempat di sekitar kawasan Bera. 

“Setelah penjajahan ini tamat, mereka kembali ke tanah dan kampung asal mereka di sekitar kawasan Tasik Bera ini untuk meneruskan kehidupan.

“Sepatutnya, kerajaan negeri mestilah prihatin dengan nasib golongan minoriti Orang Asli yang berjumlah hanya lebih kurang 200,000 orang sahaja daripada 30 juta rakyat Malaysia,” kata kenyataan mereka.

Mahkamah Tinggi Temerloh pada Februari memberi kebenaran kepada Elite Agriculture Sdn Bhd membersihkan kawasan berkenaan untuk mengusahakan penanaman kelapa sawit. – 1 April, 2021.  

Berita penuh di sini.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen