Covid-19: Bera zon hijau tunggal di Semenanjung


Bera pada masa ini daerah pertama dan satu-satunya zon hijau tunggal pada peta jangkitan Covid-19 di Semenanjung Malaysia. – Gambar Facebook, 8 Februari, 2021.

BERA kini menjadi daerah pertama dan satu-satunya zon hijau tunggal pada peta jangkitan Covid-19 di Semenanjung Malaysia.

Berdasarkan statistik Kementerian Kesihatan yang merekodkan data jangkitan Covid-19 setakat semalam (7 Februari), Bera kini bebas daripada kes positif Covid-19.

Keseluruhan Pahang juga menunjukkan tanda pemulihan dengan lima daerah kini dalam zon kuning iaitu Jerantut, Lipis, Raub, Cameron Highlands, dan Rompin. Satu daerah masih jingga iaitu Maran, sementara baki empat daerah merah iaitu Kuantan, Pekan, Bentong dan Temerloh.

Tiga daerah juga bebas Covid-19 di Sarawak iaitu Limbang, Mukah, dan Asajaya, berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan.

Bagaimanapun menurut data yang dikeluarkan oleh Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, lapan daerah bebas Covid-19 termasuk Tanjung Manis, Tebedu, Pusa, Kabong, dan Marudi.

Kementerian Kesihatan menetapkan kawasan yang mempunyai lebih 41 kes jangkitan sebagai zon merah sementara zon jingga ialah 21 hingga 40 kes, zon kuning 1 hingga 20 kes, dan zon hijau tiada kes.

Perlis juga satu-satunya negeri yang kini memasuki zon kuning dengan keseluruhan 12 kes aktif sekarang.

Enam daerah di Kedah juga kini dalam zon kuning iaitu Kubang Pasu, Pendang, Padang Terap, Langkawi, Bandar Baharu, dan Yan. Sik keluar dari zon merah, menjadi jingga sementara daerah Kuala Muda, Kota Setar dan Baling kekal merah.

Kedah antara negeri yang awal bebas Covid-19 semasa pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang pertama antara Mac dan Mei tahun lalu.

Sementara itu, dua daerah di Kelantan juga kuning iaitu Pasir Puteh dan Jeli, manakala dua daerah juga jingga iaitu Gua Musang dan Machang.

Kementerian Kesihatan semalam mengumumkan jumlah keseluruhan kes aktif Covid-19 di seluruh negara  51,241. Namun, satu lagi data yang dikeluarkan juga oleh Kementerian Kesihatan mencatatkan kes aktif sebanyak 54,646. – 8 Februari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen