Orang Asli Pahang akan terus lindungi tanah adat daripada pembalak


Noel Achariam

Orang Asli terus berdepan pencerobohan tanah yang diwarisi mereka sejak turun temurun. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Mac, 2021.

ORANG Asli Kampung Sega di Pahang akan terus mempertahankan tanah nenek moyang mereka daripada pencerobohan oleh pembalak dengan cara yang sah.

Mereka pernah mengadakan tunjuk perasaan sebelum ini tetapi menafikan terlibat dalam pembakaran mesin pengorek baru-baru ini.

Orang Asli Jakun J. San memberitahu The Malaysian Insight terdapat pencerobohan sebelum ini di tanah mereka tetapi bukanlah baru-baru ini.

“Sebelum ini kami pernah buat protes kerana takut pembalak akan menceroboh tanah nenek moyang kami,” kata San.

“Namun, kami tiada kaitan dengan pembakaran mesin pengorek atau tahu siapa yang buat.”

San ditahan pada 18 Mac setelah disyaki membakar mesin pengorek di sebidang tanah berdekatan.

Bagaimanapun beliau mendakwa sama ada dirinya atau penduduk kampung tiada kaitan dengan kejadian itu.

“Mesin pengorek itu terletak 200 meter dari tanah kami. Kami tiada kaitan dengannya.”

San berkata beliau dikatakan sebagai suspek kerana beliau seorang aktivis dan pernah membuat tunjuk perasaan sebelum ini.

Beliau juga berkata isu pembalak menceroboh tanah adat mereka sudah berlaku selama bertahun-tahun lamanya dan yang terakhir pada 2 Mac.

“Selepas kejadian itu, kami buat sekatan dan setakat ini tiada masalah. Kalau mereka datang lagi, kami akan protes.

“Kami juga telah buat beberapa protes terhadap pencerobohan pada masa lalu.”

Pengerusi Persatuan Suku Jakun Pahang, Bedul Chemai berkata pada 17 Mac San mendapat panggilan daripada polis di balai polis Paloh Hinai di Pahang.

Beliau berkata pada keesokan harinya San pergi ke balai polis ditemani abang dan rakannya.

“Beliau tidak tahu tujuan dipanggil dan menganggapnya ada hubungan dengan laporan polis yang ingin dibuatnya kerana dituduh menceroboh pada awal Mac.

“San kemudian mengetahui tujuan panggilan itu adalah mengenai mesin pengorek yang dibakar.”

Bedul berkata San bekerjasama dengan polis, namun beliau kemudian ditangkap untuk membantu siasatan.

Pada 19 Mac, San dibawa ke Mahkamah Majistret Pekan di mana beliau direman selama lima hari. Beliau kini dibebaskan dengan ikat jamin.

“Suku Jakun merasakan tindakan ini tidak wajar kerana San tidak terlibat (kejadian mesin pengorek).”

Bedul berkata sekarang ini ingin tahu bagaimana nama San muncul sebagai suspek.

“Apakah beliau ditahan kerana merupakan seorang aktivis dan mempertahankan tanah adatnya?

“Kami mendesak semua pihak yang terlibat dalam kes ini agar melakukan penyelidikan yang lebih terperinci, bebas dan telus.” – 28 Mac, 2021.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen