Wong Tack umum pertahan Bentong selepas digugurkan oleh DAP


WONG Tack mengumumkan akan bertanding sebagai "calon rakyat" pada PRU15 ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Oktober, 2022.

WONG Tack yang digugurkan oleh DAP daripada bertanding semula di kerusi Parlimen Bentong mengumumkan akan bertanding sebagai “calon rakyat” pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.

Beliau membuat pengumuman itu dengan membaca satu kenyataan media yang rakamannya disiarkan secara langsung di Facebook.

“Sepanjang empat tahun lalu, saya dengan tekun menjalankan tanggungjawab sebagai wakil rakyat di Bentong. Bentong adalah kampung halaman saya. Saya tetap komited untuk terus berkhidmat kepada rakyat.

“Dengan ini, saya mengumumkan bahawa saya Wong Tack akan bertanding bawah tiket rakyat,” katanya.

Wong mengumumkan keputusannya tidak sampai enam jam selepas DAP menamakan timbalan ketua Pemuda DAP Young Syefura Othman sebagai calon Pakatan Harapan (PH) di Bentong.

Dalam pengumumannya di ibu pejabat DAP, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke berkata DAP yakin Syefura lebih sesuai membawa panji-panji parti di Bentong yang dijangka akan ditandingi semula oleh bekas presiden MCA Liow Tiong Lai.

Liow menang mengalahkan Wong pada 2013 tetapi kalah pada 2018.

“Keputusan ini bukan hanya berdasarkan pada pemerhatian tetapi kajian. Kita percaya beliau (Syefura) calon boleh menang di situ,” katanya.

Sekiranya menang, Syefura bakal jadi ahli parlimen wanita Melayu pertama dari DAP.

Syefura adalah juga Adun Ketari, satu daripada empat kerusi negeri dalam kawasan Parlimen Bentong.

Loke juga berkata DAP terlebih dahulu menawarkan Wong bertanding di Cameron Highlands tetapi beliau tidak bersetuju.

Wong tidak menyentuh mengenai tawaran itu dalam rakaman yang disiarkan di laman Facebook atas namanya.

Dalam kenyataannya, Wong mengimbau kerjasama antaranya selaku aktivis Himpunan Hijau dengan DAP pada 2013, ketika setiausaha agung DAP pada masa itu Lim Guan Eng menawarkannya bertanding pada PRU13.

Kepercayaan DAP kepadanya, katanya, diteruskan pada PRU14.

“Hari ini, DAP mahu menamatkan persefahaman ini. Saya mahu menjelaskan bahawa kita menentukan jalan kita sendiri. Pilihan di tangan kita,” katanya, sambil menegaskan beliau tidak berminat untuk bermain politik kepartian. – 26 Oktober, 2022.              


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen