Presiden EU seru beri sokongan Mesir tangani penduduk Gaza 


Bantuan kemanusiaan yang ditunggu-tunggu untuk rakyat Palestin yang terkandas di Semenanjung Gaza akan mula masuk pada Jumaat. – Gambar AFP, 20 Oktober, 2023.

PRESIDEN Majlis Eropah Charles Michel akan melawat Mesir pada Sabtu dan meminta sokongan negara itu yang mungkin terpaksa menerima puluhan ribu rakyat Palestin yang melarikan diri dari Gaza, katanya pada Khamis.

“Mesir memerlukan sokongan, jadi mari kita menyokong Mesir,” kata Michel, yang berada di Washington untuk menghadiri sidang kemuncak bersama Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden dan Presiden Suruhanjaya Eropah Ursula von der Leyen pada Jumaat.

Beliau berkata akan bertemu Presiden Mesir Abdel Fattah al-Sisi semasa lawatan hujung minggunya.

Di samping itu, Michel akan menghadiri jemputan al-Sisi bagi persidangan mengenai perkembangan semasa di Timur Tengah, Palestin dan Proses Keamanan, kata jurucakapnya, Ecaterina Casinge.

Mengiringi Michel ke Mesir ialah Josep Borrell, ketua dasar luar EU, kata Casinge.

Von der Leyen mengumumkan awal minggu ini di Tirana yang Kesatuan Eropah (EU) akan membuka koridor udara kemanusiaan ke Semenanjung Gaza.

Michel memberi sokongan padu kepada Presiden Biden, yang melawat Israel pada Rabu dan berkata sudah mendapat kebenaran daripada Kaherah untuk membenarkan kira-kira 20 trak yang membawa bantuan kemanusiaan melepasinya, dan mengulangi sokongan EU terhadap hak Israel “untuk mempertahankan diri” mengikut undang-undang antarabangsa.

Tentera Israel dan gerakan pejuang Hamas di Gaza saling menyalahkan berhubung serangan maut ke atas hospital Ahli Arab, Gaza.

Bantuan kemanusiaan yang ditunggu-tunggu untuk rakyat Palestin yang terkandas di Semenanjung Gaza akan mula masuk pada Jumaat, lapor media Mesir pada Khamis, hari ke-13 perang antara Israel dan Hamas, yang dicetuskan oleh serangan kumpulan Palestin ke atas Israel pada 7 Oktober.

Pemimpin Eropah itu terus menekankan cabaran yang timbul oleh kemungkinan kemasukan pelarian ke Mesir, dan berkata beliau menjangkakan “pertukaran maklumat penting” mengenai perkara itu pada Jumaat semasa sidang kemuncak AS-EU di Washington.

Ditanya sama ada Eropah bercakap dengan satu suara, beliau berkata: “Jawapannya ya,” memetik pendirian bersatu yang dinyatakan oleh pemimpin Eropah semasa sidang video pada petang Selasa.

Sidang kemuncak Eropah tidak rasmi itu bertujuan menjelaskan kedudukan Eropah selepas beberapa siri kritikan terhadap mesej dihantar oleh presiden Suruhanjaya Eropah semasa lawatannya ke Israel baru-baru ini.

“Kami bersama Israel,” kata Von der Leyen dalam ucapan kepada badan pemikir Institut Hudson di Washington Khamis, mengulangi negara itu mempunyai hak untuk mempertahankan diri daripada serangan Hamas. – AFP, 20 Oktober, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen