GERAKAN Hizbullah di Lubnan yang disokong Iran mengutuk serangan ke atas hospital di Semenanjung Gaza dengan ratusan penunjuk perasaan berkumpul di kedutaan Perancis dan Amerika Syarikat (AS) sebagai tanda protes.
Hizbullah yang juga sekutu Hamas menyifatkan serangan hospital sebagai “pembunuhan beramai-ramai” dan “jenayah kejam”.
Gerakan itu turut menyeru sokongan terhadap Palestin dengan mengisytiharkan ia sebagai ‘day of rage’ (hari kemarahan).
“Ayuh kita jadikan esok (Rabu) sebagai hari kemarahan terhadap musuh,” kata Hizbullah dalam satu kenyataan.
Kementerian Kesihatan di Gaza yang dikuasai Hamas berkata, sekurang-kurangnya 500 orang terbunuh dalam serangan Israel ke atas hospital, dengan orang awam terpaksa berlindung di kawasan pantai.
Pihaknya turut menyeru umat Islam dan penduduk di Asia Barat mengadakan perhimpunan di jalanan bagi menzahirkan kemarahan susulan serangan yang semakin memburuk.
Menurut wartawan AFP, susulan seruan Hizbullah, ratusan penunjuk perasaan bergelut dengan pasukan keselamatan Lubnan di luar kedutaan AS di pinggir bandar Awkar, dengan penunjuk perasaan membaling batu dan membakar bangunan.
Polis melepaskan beberapa das tembakan gas pemedih mata untuk menyuraikan penunjuk perasaan dengan pegawai perubatan bertindak memberi rawatan kepada penunjuk perasaan yang mengalami sesak nafas.
Menurut wartawan, penunjuk perasaan melaungkan “kematian kepada Amerika” dan “kematian kepada Israel”, dan ramai dilihat menutup muka mereka dengan selendang Palestin.
Ratusan penunjuk perasaan turut berkumpul di kedutaan Perancis di Beirut, menaikkan bendera Hizbullah dan melontarkan batu di pintu masuk utama pejabat berkenaan. – AFP, 18 Oktober, 2023.
Komen