KEKURANGAN air di Semenanjung Gaza di bawah sekatan Israel memaksa orang ramai minum daripada sumber tercemar dan boleh membawa kepada penularan penyakit, agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa (PBB) untuk pelarian Palestin (UNRWA) memberi amaran pada Isnin.
“Ketiadaan berterusan air bagi sebahagian besar penduduk di Gaza,” kata jurucakap UNRWA Juliette Touma kepada pemberita di New York dalam sidang video dari Amman.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebelum ini berkata air, bahan api dan elektrik akan kehabisan dalam tempoh 24 jam, memberi amaran yang Israel memperhebat sekatan ke atas wilayah terkepung itu selepas serangan maut oleh kumpulan Palestin Hamas pada 7 Oktober.
“Kita bercakap mengenai 2 juta orang di Semenanjung Gaza yang tidak mempunyai air dan ia semakin surut dan air adalah kehidupan. Kehidupan hampir habis di Gaza,” kata Touma.
“Kami amat bimbang dengan penularan penyakit bawaan air jika ia berterusan berlaku di Gaza, kerana kami tahu orang ramai menggunakan sumber air yang kotor, termasuk telaga,” katanya.
Pengeboman Israel ke atas Gaza, yang dilancarkan sebagai tindakan balas terhadap serangan Hamas, membunuh sekurang-kurangnya 2,750 orang, termasuk ratusan kanak-kanak, menurut pihak berkuasa tempatan.
UNWRA pernah memberikan bantuan makanan kepada hampir 1.2 juta penduduk di Gaza, tetapi sejak 7 Oktober, tiada bekalan daripada pertubuhan itu atau mana-mana agensi PBB lain tiba di wilayah terkepung dikawal Hamas, yang terasing sepenuhnya.
Touma berkata kebimbangan itu dirasai dalam kalangan pekerja UNRWA sendiri di Semenanjung Gaza.
“Kami berasa tahap terdesak dan kekecewaan dan keletihan dalam kalangan kakitangan kami meningkat mengikut jam,” katanya. – AFP, 17 Oktober, 2023.
Komen