Reformasi politeknik pastikan graduan TVET peroleh gaji premium, kata Khaled Nordin


Menteri Pendidikan Tinggi Mohamed Khaled Nordin berkata kementerian akan melakukan reformasi terhadap politeknik bagi memastikan graduan TVET memperoleh gaji premium. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Oktober, 2023.

KEMENTERIAN Pendidikan Tinggi (KPT) akan melakukan reformasi terhadap politeknik di bawah kementerian itu bagi memastikan graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) memperoleh gaji premium iaitu lebih RM4,000 sebulan.

Menteri Pendidikan Tinggi Mohamed Khaled Nordin berkata bagi tujuan itu KPT antara lain akan menjalin hubungan kerjasama yang lebih aktif dengan pihak industri serta menyediakan program baharu yang menepati kehendak dan keperluan negara serta industri TVET.

Beliau berkata setakat ini, bagi graduan lepasan Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) atau Universiti Awam (UA) yang sudah menerima gaji premium itu adalah dalam lingkungan 10 peratus daripada keseluruhan graduan TVET di bawah KPT.

“Bagaimanapun graduan lepasan UA dengan gaji RM2,500 ke atas adalah seramai 38 peratus, iaitu mereka yang mempunyai ijazah. Bagi lepasan politeknik, mereka yang terima gaji premium (RM4,000 ke atas) walaupun (mempunyai) diploma ialah 0.9 peratus tetapi yang RM2,500 ke atas adalah 6.1 peratus.

“Bagi KPT sekarang sasaran kita bukan sahaja kebolehpasaran graduan, tetapi sasaran kita ialah (untuk graduan TVET mendapat) gaji premium,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Muslimin Yahaya (PN-Sungai Besar) yang ingin tahu usaha kolaborasi KPT dalam memartabatkan graduan TVET dari segi upah dan gaji memandangkan ia dilihat sangat rendah sehingga menghantui graduan dalam memburu peluang pekerjaan.

Menyentuh mengenai jumlah graduan bidang TVET bagi tempoh 2018 hingga kini Mohamed Khaled berkata terdapat seramai 256,901 graduan dilahirkan oleh KPT yang merangkumi 71,825 graduan UA atau MTUN, 139,579 graduan politeknik dan 45,497 graduan kolej komuniti. – Bernama, 16 Oktober, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen