Tiada cadangan teruskan insentif diskaun PTPTN, kata menteri


Menteri Pendidikan Tinggi Mohamed Khaled Nordin berkata kementeriannya memberi tumpuan kepada tiga perkara dalam Belanjawan 2024 iaitu pendigitalan, penyelidikan dan inovasi serta kediaman pelajar. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Oktober, 2023.

KEMENTERIAN Pendidikan Tinggi (KPT) tidak bercadang meneruskan pemberian insentif diskaun bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dalam pembentangan Belanjawan 2024, kata menterinya Mohamed Khaled Nordin.

Bagaimanapun, katanya perkara itu tertakluk kepada keputusan yang dibuat Kementerian Kewangan (MOF).

“Setakat ini, kita tidak lagi meneruskan itu (diskaun bayaran balik PTPTN),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Akademia dan Bulan Akademia Peringkat Kebangsaan 2023 di Putrajaya, hari ini.

Dalam pembentangan Belanjawan 2023, Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang juga menteri kewangan berkata kerajaan bersetuju memberikan diskaun bayaran balik pinjaman PTPTN sehingga 20% selama tiga bulan bermula 1 Mac hingga 31 Mei lepas. 

Selain itu, kerajaan juga bersetuju memberikan penangguhan bayaran balik kepada peminjam berpendapatan bulanan RM1,800 ke bawah untuk tempoh enam bulan bagi meringankan beban kewangan peminjam yang terkesan.

Terdapat empat kategori yang layak menerima insentif ditawarkan iaitu diskaun 20% atas baki hutang untuk penyelesaian penuh pinjaman dan diskaun 15% untuk penyelesaian sekurang-kurangnya 50% daripada keseluruhan baki hutang.

Selain itu, diskaun 15% akan diberikan untuk bayaran balik melalui potongan gaji atau Debit Terus mengikut jadual bayaran balik dan diskaun 5% untuk bayaran balik melalui aplikasi myPTPTN.

Dalam pada itu, Khaled berkata KPT memberi tumpuan kepada tiga perkara dalam Belanjawan 2024 iaitu pendigitalan, penyelidikan dan inovasi serta kediaman pelajar.

“Kita (KPT) mengharapkan supaya kerajaan menyokong permohonan kita untuk kita menerap dan mengaplikasi pendigitalan dalam kita menjayakan dan mengurus mentadbir ekosistem pendidikan tinggi dalam  negara.

“Kita percaya melalui pendigitalan akan dapat meningkat dan melonjakkan lagi usaha kita untuk memastikan terus cemerlang dalam sektor pendidikan tinggi,” katanya. – Bernama, 4 Oktober, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen