Jangan pilih calon yang 'jauhkan' Pelangai dengan Pusat, kata Khaled


Khaled yakin BN mampu mempertahankan kerusi DUN Pelangai itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Oktober, 2023.

PENGUNDI pada Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai dinasihat agar tidak memilih wakil rakyat yang ‘menjauhkan’ kawasan itu dengan agenda kerajaan.

Naib Presiden Umno Mohamed Khaled Nordin berkata pemilihan wakil rakyat yang mempunyai hubungan baik dengan kerajaan negeri dan Persekutuan akan menjadi penghubung kepada pelaksanaan program serta dasar kerajaan dalam meningkatkan kualiti hidup masyarakat di Pelangai.

“Dari aspek geografinya, Pelangai adalah kawasan yang jauh dengan pusat pentadbiran negeri di Kuantan serta Putrajaya.

“Jadi, kalau dah dalam keadaan sedemikian, biarlah jarak sahaja menjadi pemisah, jangan pilih wakil rakyat yang semakin menjauhkan lagi Pelangai dengan kerajaan,” katanya kepada pemberita di Program Semarak Siswa Madani Pahang di Dataran Simpang Pelangai, hari ini.

PRK DUN Pelangai pada 7 Oktober ini menyaksikan pertembungan tiga penjuru di antara calon Barisan Nasional (BN) Datuk Amizar Abu Adam, calon Perikatan Nasional Kasim Samat dan calon Bebas Haslihelmy DM Zulhasni.

Mohamed Khaled yang juga Menteri Pendidikan Tinggi yakin BN berupaya mempertahan kerusi DUN Pelangai  berdasarkan maklum balas positif masyarakat di kawasan itu terhadap kempen gabungan politik tersebut setakat ini.

“Sambutan pengundi memuaskan dan saya percaya mereka tahu serta bijak memilih siapa yang layak mewakili mereka namun ia bukan tiket jentera kita berasa selesa, kita akan pastikan jentera sentiasa terus bekerja keras sehingga detik akhir kempen,” katanya. – Bernama, 1 Oktober, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen