KEMENANGAN Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) di Simpang Jeram dan Pulai pada Sabtu akan menjadi pemangkin kepada kerjasama yang lebih erat untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Pelangai kelak, kata pemerhati.
Bercakap kepada The Malaysian Insight, mereka berpendapat kerjasama tersebut akan menjadi lebih serius di Pahang walaupun ketika di Johor, strategi kempen kedua-dua pakatan itu berbeza.
Kata mereka, kemenangan itu menunjukkan dengan kedua-dua pakatan itu mengetepikan perbezaan dan bekerjasama, ia akan membuahkan hasil yang lebih baik.
Namun, adakah ia akan berulang lagi pada PRK di Pahang yang merupakan kubu kuat Umno?
Calon PH Nazri Abdul Rahman menang di kerusi DUN Simpang Jeram dengan majoriti 3,514 undi.
Timbalan Ketua Amanah Bakri itu memperoleh 13,844 undi menewaskan calon Perikatan Nasional (PN) Dr Mazri Yahya (10,330 undi) dan calon Bebas S. Jeganathan (311 undi).
PH juga mempertahankan Parlimen Pulai apabila calonnya Suhaizan Kaiat menang dengan majoriti 18,641 undi menewaskan dua calon lain.
Suhaizan menerima 48,282 undi manakala calon PN Zulkifli Jaafar mendapat 29,642 undi dan calon Bebas Samsudin Mohamad Fauzi mendapat 528 undi.
Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisomuddin Bakar berkata strategi kempen PH dan BN itu berjaya dan ia mungkin diteruskan di Pelangai.
Jelasnya, BN boleh memenangi Pelangai jika berjaya meyakinkan penyokongnya termasuk PH untuk mengundi calon Umno.
“Ketika kempen di Johor, PH dan BN kempen berasingan, mereka meyakinkan penyokong secara berasingan untuk mengundi calon dan strategi itu berkesan.
“Pelangai kubu kuat BN jadi mungkin belum masa lagi untuk PH-BN mergerak bersama di negeri itu. Atau mungkin strategi sama digunakan di Pahang.
“PH boleh dapatkan segmen mereka undi untuk BN dan BN tidak boleh biarkan sebarang peralihan undi daripada Umno kepada PN,” katanya.
PN dikatakan gagal di Johor semalam kerana gabungan itu tidak mendapat sokongan orang Melayu yang mencukupi.
Pengarah Program Merdeka Center Ibrahim Suffian berkata terdapat penolakan ketara daripada pengundi bukan Melayu terhadap gabungan pembangkang itu.
Ibrahim yang juga pengasas bersama Merdeka Center itu berkata terdapat petunjuk jelas penyokong Umno menyokong kerajaan perpaduan dan mengundi calon Amanah yang mewakili PH.
Sebaliknya, Dr Mazlan Ali berkata semangat Umno tinggi berikutan pembebasan Presidennya Ahmad Zahid Hamidi daripada kes mahkamah yang akhirnya menggerakkan ahli parti itu untuk mengundi PH.
Beliau berkata kemenangan di Johor akan diterjemahkan kepada kerjasama yang lebih serius antara PH dan BN di Pelangai.
“Kerusi DUN Pelangai di bawah Bentong dan kita tahu Bentong adalah kerusi Cina. Kerjasama akan lebih serius di Pahang.
“Kita lihat PH-BN sebenarnya boleh bekerja sebagai satu pasukan dan mereka berjaya meningkatkan undi walaupun peratusan keluar mengundi rendah.
“Petunjuk itu positif, ia akan menyuntik semangat baharu kepada Umno di Pelangai untuk menentang PN. Jika kalah di Johor keadaan mungkin bertambah buruk, tekanan kepada Zahid akan lebih berat dan Umno akan goyah.
“Sekarang Zahid sudah bebas, persepsi berbeza,” kata ahli akademik Universiti Teknologi Malaysia itu.
Isnin lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah melepas tanpa membebaskan (DNAA) Zahid daripada semua 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram yang berkaitan dengan dana Yayasan Akalbudi.
Hakim Collin membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar untuk melepaskan tanpa membebaskan Zahid, apabila pihak pendakwaan memutuskan untuk memberhentikan prosiding kerana mereka berhasrat menyiasat kes itu dengan lebih mendalam.
Dalam pada itu, Prof Dr Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya senada dengan Mazlan.
Katanya, kerjasama di Johor diterima ramai terutama penyokong PH dan BN perlu meyakinkan ahli mereka tentang kerjasama dengan PH itu.
“Kerjasama akan diteruskan tetapi mereka tidak boleh ambil mudah di Pelangai, mereka perlu bekerja keras dan tidak boleh mengambil mudah.
“PN sudah tentu akan bertanding untuk menang selepas tewas di dua kerusi di Johor,” katanya. – 11 September, 2023.
Komen