Kerajaan Perpaduan tidak akan mungkir janji bantu rakyat, kata Zahid


Ahmad Zahid ketika berucap selepas melawat PPR di Johor, hari ini. – Gambar Facebook Zahid Hamidi, 3 September, 2023.

KERAJAAN Perpaduan tidak akan memungkiri janji untuk membantu rakyat termasuk dalam soal menyediakan kemudahan perumahan bagi rakyat yang tidak berkemampuan, kata Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid berkata kerajaan yang diterajui Perdana Menteri Anwar Ibrahim adalah kerajaan yang progresif dan produktif dalam menyantuni semua permasalahan yang dihadapi rakyat.

Justeru katanya, permasalah rakyat sentiasa dibawa ke peringkat tertinggi untuk dibincangkan dan mencari penyelesaiannya.

“Kerajaan Perpaduan Madani di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar…setiap janji yang beliau lafazkan dan perkara (masalah) yang dibawa kepada saya, pastinya akan dibawa (dibincang) supaya diluluskan untuk kepentingan rakyat,” katanya.

Beliau berkata dalam ucapan pada majlis lawatan kerja ke Projek Perumahan Rakyat (PPR) Melana Indah, Taman Perling di Johor Bahru, hari ini.

Selain itu, beliau berkata dalam aspek perumahan PPR, penyediaan kemudahan asas yang berkualiti perlu diberi perhatian dan bagi tujuan itu Kerajaan Persekutuan bersama kerajaan negeri serta pihak berkuasa tempatan sentiasa bekerjasama melaksanakan inisatif terbaik untuk rakyat.

“Kita mahu rakyat menikmati (bantuan) secara adil kerana kita lihat rumah sewa kerajaan yang harga sebulan bawah RM200 pun masih ada yang tidak dapat membayar…ini perlu diberi perhatian,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut memberi jaminan sekiranya calon Pakatan Harapan (PH) Suhaizan Kaiat diberi mandat pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai, Sabtu depan, beliau sendiri akan memantau prestasi serta isu-isu termasuk soal perumahan yang akan dibawa pada sidang Parlimen.

“Jika dia (Suhaizan) dipilih ke Parlimen, saya bukan hanya pantau ucapan-ucapannya tetapi juga tindakan-tindakan susulan terdapat isu yang dibawanya.

“Justeru rakyat di Pulai harus memilih calon PH untuk memastikan pembangunan di Pulai dapat dilaksanakan,” katanya. – Bernama, 3 September, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen