Tubuh Institut Penyelidikan Timur Tengah, perkukuh dasar luar negara Malaysia


Fakhrurrazi Rashid

Asap berkepul di belakang masjid semasa serangan udara Israel ke atas Rafah di selatan Semenanjung Gaza. – Gambar AFP, 12 Oktober 2023.

KETEGANGAN konflik Palestin-Israel masih tiada noktah. Hampir setiap jam dunia dihujani berita mengenai korban dan ledakan roket antara kedua-dua belah pihak.

Lebih menjengkelkan lagi apabila kuasa-kuasa besar barat berdiri di belakang kekejaman rejim Tel Aviv dan meminggirkan hak kemanusian terhadap rakyat Palestin.

Malaysia antara negara yang memainkan peranan ‘middle power’ dalam mencari keamanan dunia dan menolak peperangan.

Dasar berkecuali dalam politik antarabangsa dengan mengetengahkan solidariti kemanusian membentuk pendirian tegas Malaysia kepada pemimpin kuasa besar untuk mencapai perdamaian melalui meja rundingan.

Konsistensi solidariti Malaysia lebih menonjol apabila Dewan Rakyat membahaskan usul mengutuk serangan Israel dan berdiri teguh bersama rakyat Palestin dalam konflik ini.

Kesemua ahli Parlimen tidak kira pembangkang dan kerajaan bersatu-padu untuk menghentikan keganasan dan meneruskan rundingan perdamaian.

Jurang kefahaman kian melebar

Namun di sebalik pendirian yang tegas ini masih terdapat jurang dan kelemahan dalam kalangan rakyat dan ahli politik tempatan untuk memahami perkembangan politik antarabangsa khasnya konflik Timur Tengah dan Palestin-Israel.

Pertama, masih ramai yang beranggapan isu Palestin-Israel adalah ‘isu agama’ yang hanya perlu dibincangkan eksklusif untuk umat Islam sahaja sehingga nilai kemanusiaan sejagat kurang mendapat perhatian.

Kedua, kelemahan kerajaan Malaysia tidak menambahbaik  dasar luar negara khususnya di dalam konflik Timur Tengah menjadi punca pendirian Malaysia di peringkat antarabangsa ‘mendatar’ tanpa menggarap perspektif baharu memahami isu secara konstruktif.

Jurang kefahaman yang begitu luas ini memberi ruang beberapa pihak mengeluarkan pendirian berdasarkan sentimen yang sering bercanggah dengan pendirian kerajaan Malaysia.

Kita dapat lihat apabila ada segelintir rakyat Malaysia yang menggunakan kanta agama untuk melihat isu Palestin sehingga ada pula bertindak menyokong keganasan Israel atas dasar anti-Islam.

Jurang perbezaan pendapat mengenai dasar luar negara dalam isu Timur Tengah di Malaysia perlu diuruskan dengan baik.

Persoalannya, apakah pendekatan terbaik untuk memastikan pemimpin dan rakyat memahami isu politik antarabangsa ini dengan lebih mendalam, melangkaui kanta agama dan sentimen?

Kepentingan penubuhan Institut Timur Tengah

Salah satu cadangan untuk menyelesaikan isu ini adalah menubuhkan sebuah badan pemikir atau institut yang membuat kajian khas mengenai dasar Timur Tengah.

Badan pemikir ini boleh memain peranan dalam memperkukuh dasar luar negara kerajaan Malaysia dalam isu Timur Tengah.

Kita harus akui meskipun Malaysia mempunyai beberapa unit atau jabatan berkenaan pengajian antarabngsa namun isu-isu Timur Tengah ini sering dibincangkan dalam jabatan berkaitan pengajian Islam yang kurang memberi fokus kepada perbincangan kritikal berkaitan dasar luar negara.

Malaysia boleh mencontohi beberapa institut pengajian Timur Tengah seperti Middle East Institute (MEI) di Universiti Kebangsaan Singapura yang aktif menganjurkan perbincangan bersama ahli akademik, pakar geopolitik, dan pemimpin dalam isu kritikal di Timur Tengah. Ia juga platform bertukar pandangan antara pemimpin Asia dan Timur Tengah.

Penubuhan institut pengajian Timur Tengah akan memberi nilai tambah kepada Malaysia. Pertama, ia dapat membina kerangka dasar luar negara dari sudut pandang yang strategik untuk Malaysia di Timur Tengah.

Perubahan pesat di Timur Tengah dari sudut geopolitik dan ekonomi memerlukan Malaysia menambah baik dasar luar negara di wilayah itu.

Institut yang dicadangkan ini berperanan dalam membentuk kerangka baharu yang lebih tertumpu kepada strategi memperluas hubungan dua hala dalam ekonomi, perdagangan antarabangsa, hak asasi manusia, dan politik menerusi pendekatan menyeluruh antara kerajaan dan masyarakat yang menguntungkan Malaysia.

Kedua institut pengajian ini boleh menjadi platform untuk mengumpul dan melahirkan pakar dalam isu Timur Tengah.

Hakikatnya, Malaysia kaya dengan tenaga pakar dan graduan yang berminat dan mempunyai idea dalam isu-isu di Timur Tengah.

Mengumpulkan tenaga pakar, aktivis, dan pemimpin

Ramai antara mereka juga fasih berkomunikasi, menulis, dan membaca dalam bahasa Arab.

Penubuhan institut ini dapat mengangkat dan melahirkan tenaga pakar atau bakat baharu dalam menyumbang pemikiran terkini buat kerajaan Malaysia melihat dasar Timur Tengah secara menyeluruh.

Ketiga, mencambahkan lagi advokasi dan dialog berfokus berkenaan isu Timur Tengah.

Institut yang dicadangkan ini dapat mengumpulkan tenaga pakar, graduan dan aktivis masyarakat dari dalam dan luar negara untuk membincangkan dasar Timur Tengah berdasarkan  perspektif baharu dan kontemporari.

Advokasi yang dilakukan adalah untuk membina pemikiran dan kefahaman rakyat Malaysia mengenai isu Timur Tengah secara mendalam melangkaui perbezaan latar belakang dari sudut kaum, agama, dan politik.

Secara umumnya, institut ini dapat menjadikan Malaysia sebagai hub atau pusat pemimpin dunia bertukar pandangan mengenai isu kontemporari di Timur Tengah dari sudut pandangan Malaysia, Asia Tenggara dan pihak antarabangsa.

Malah institut ini juga boleh menjadi pusat pertukaran idea dan dialog antarabangsa khususnya pemimpin, ahli akademik dan masyarakat di Timur Tengah bagi memahami kontemporari Malaysia dengan lebih mendalam.

Penubuhan institut ini juga memberi peluang kepada rakyat Malaysia menyertai perbincangan dan memahami pendirian Malaysia sebagai ‘middle power’ yang menekankan perdamaian sejagat dan menolak keganasan.

Perkara ini sekurang-kurangnya dapat menghakis fahaman segelintir pemimpin dan rakyat yang bertentangan dengan pendirian kerajaan Malaysia dalam isu antarabangsa, khasnya dalam konflik Palestin - Israel. Institut Kajian Timur Tengah ini juga dapat memperkemas pendirian Malaysia dalam konflik Timur Tengah pada masa hadapan.

Malaysia perlu terus konsisten memainkan peranan sebagai aktivis yang membawa suara pedamaian sejagat di peringkat atarabangsa.

Janganlah pula ada antara kita yang vokal bersuara tentang nasib rakyat Timur Tengah tetapi bersikap diam membisu dalam isu-isu kemanusian yang berlaku di rantau Asia Tenggara. – 12 Oktober 2023.

* Fakhrurrazi Rashid, juga dikenali kawan-kawannya sebagai Bob, minat dengan parlimen yang tidak siapa kisah di Malaysia dan sentiasa mengikuti rapat isu politik semasa.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen