Semak semula harga gula elak masalah kurang bekalan, kata peniaga


Noel Achariam

Presiden Persatuan Peruncit Bumiputera Ameer Ali Mydin berkata kerajaan perlu semak semula dan naikkan harga gula bagi mengelak berlakunya masalah bekalan bahan itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 September, 2023.

RAKYAT Malaysia mungkin berdepan masalah kekurangan bekalan gula tidak lama lagi kecuali jika kerajaan bertindak pantas menetapkan harga selaras dengan kenaikan harga antarabangsa, kata Persatuan Peruncit Bumiputera.

Presidennya, Ameer Ali Mydin memberitahu The Malaysian Insight selepas masalah kekurangan bekalan beras, rakyat Malaysia akan terjejas dengan isu bekalan gula pula tidak lama lagi.

“Harga gula adalah RM2.85 sekilogram berbanding harga antarbaangsa yang naik antara RM3.60 dan RM3.80 per kg.

“Jelas ada perbezaan harga dan kita tidak mengeluarkan gula,” katanya.

Ameer berkata gula mentah diimport oleh dua syarikat di mana mereka menghasilkannya dan alami kerugian jutaan ringgit.

“Sama seperti entiti perniagaan lain, berapa lama dapat mereka bertahan?”

Dua syarikat berkenaan adalah MSM Malaysia Holdings Bhd dan Central Sugars Refinery Sdn Bhd (CSR) yang mengimport 100% gula mentah.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Fuziah Salleh baru-baru ini berkata industri guna negara akan terjejas teruk jika struktur harga pada masa ini tidak disemak semula.

Katanya, pada masa ini mereka sedang menyemak harga berkenaan dan kini berada pada peringkat akhir.

Beliau berkata gula mentah membentuk 80% kos pengeluaran gula tempatan dan kos operasi 10%.

“Bagi setiap 1kg gula yang dikeluarkan, mereka rugi 88 sen,” katanya.

Malaysia pada masa ini menerima bekalan dari Brazil, berbanding Thailand dan India sebelum ini.

Ameer berkata kerajaan sedar berkenaan isu itu dan perlu mengambil tindakan sewajarnya sebelum masalah bertambah buruk.

Katanya, beliau percaya kerajaan boleh memberi subsidi untuk pengendali gula bagi mengawal harga jualan.

“Namun, ini akan menambah subsidi kerajaan yang lain di mana ia tidak menyelesaikan masalah sedia ada.

“Cara lain adalah menaikkan harga gula. Jika ia tidak dilakukan, syarikat berkenaan akan terjejas teruk.”

Ameer berkata subsidi dan kawalan harga tidak akan berkesan, sama seperti kegagalan dalam kes telur dan beras.

Katanya, jika harga tidak dinaikkan, akan timbul masalah penyeludupan gula, sama seperti minyak masak.

“Ini kerana perbezaan harga tempatan dan antarabangsa.

“Jika harga gula tidak naik, maka kita akan alami kekurangan bekalan,” katanya. – 25 September, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen