MP kerajaan gesa campur tangan kerajaan tangani kekurangan barang keperluan


Hassan menyuarakan perkara itu di akaun Facebooknya, hari ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 September, 2023.

AHLI Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim menggesa kerajaan membantu rakyat di kawasannya dengan segera.

Wakil rakyat PKR yang lantang itu berkata rakyat di Pasir Gudang berdepan kekurangan barang keperluan dan mencadangkan kerajaan membantu dengan mengadakan Jualan Rahmah atau menghantar bekalan makanan di kawasan tersebut.

Saya kini di Pasir Gudang melihat keadaan rakyat. Rakyat sedang marah. Beras tempatan tak ada. Minyak masak tak ada. Gula pasir tak ada. Telur ayam tak ada.

“Mohon KPDN (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup) tolong rakyat kami di Pasir Gudang. Sama ada buat segera program Jualan Rahmah atau hantar bekalan makanan yang cukup ke Pasir Gudang sekarang.

“Rakyat amat mengharap pertolongan kerajaan. Tidak pernah rakyat mengalami putus bekalan makanan utama seperti sekarang ini,” katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.

The Star turut melaporkan Hassan berkata kawasan yang terjejas di Taman Scientex di mana orang awam dilaporkan bergaduh dengan pemilik kedai kerana kekurangan bekalan.

Pada 1 September lalu, Padiberas Nasional Bhd (Bernas) mengumumkan harga beras import dinaikkan daripada RM2,350 kepada RM3,200 bagi setiap tan metrik.

Bagi menangani masalah permintaan beras putih tempatan ( BPT), kerajaan mengambil langkah intervensi untuk meningkatkan bekalan BPT di pasaran dengan meminta pengilang padi di zon utara menambah pengeluaran 20%  kepada kerajaan melalui Bernas.

Minggu lalu, kementerian memberi jaminan bekalan beras tempatan akan stabil dalam tempoh sebulan dan stok bekalan beras mencukupi bagi menampung keperluan beras negara bagi tempoh empat hingga lima bulan.

Ketua Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP)  Azulita Salim dilaporkan memberi jaminan bekalan BPT di negara ini mencukupi walaupun berdepan dengan cabaran seperti cuaca yang tidak menentu sehingga menyebabkan bekalan beras agak terhad.

Azulita berkata beras putih tempatan itu dibekalkan ke 40 premis di bawah LPP iaitu 23 Peladang Outlet (PO), lapan Agro Bazar Pertubuhan Peladang dan sembilan Kedai Peladang.

Sebelum ini, media melaporkan sejumlah 700 tan metrik beras putih tempatan mula diedar ke seluruh Semenanjung semalam menerusi program khas pengedaran dan penjualan beras putih tempatan terus kepada pengguna akhir melalui premis di bawah LPP dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di empat zon iaitu utara, tengah, selatan dan timur.

Jumlah pengedaran di bawah LPP untuk tempoh sehingga hujung tahun ini ialah 300 tan metrik, manakala FAMA (peroleh) 400 tan metrik. – Bernama, 23 September, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen