PADIBERAS Nasional Bhd (Bernas) hari ini mengumumkan harga beras import dinaikkan daripada RM2,350 kepada RM3,200 bagi setiap tan metrik.
Bernas dalam satu kenyataan hari ini berkata mereka mengharungi separuh tahun pertama yang sangat mencabar.
Menurut Bernas ini disebabkan pelbagai faktor luaran seperti perubahan iklim, kadar pertukaran asing yang semakin lemah, kos operasi yang tinggi dan konflik serantau.
“Faktor itu secara kolektif mencetuskan kesan ketara ke atas pasaran dagangan beras global ditambah lagi dengan kesan larangan pengeksportan beras putih yang diumumkan oleh India baru-baru ini,” kata Bernas.
Pada 20 Julai lalu, India menguatkuasakan sekatan eksport beras putih bukan basmati bagi meredakan kenaikan harga dalam pasaran domestik serta bagi memastikan ketersediaan makanan ruji dunia itu.
Pada Jun, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) menafikan kenaikan harga beras tempatan.
Timbalan menterinya Chan Foong Hin berkata harga kawalan maksimum beras putih tempatan pada peringkat peruncit pada kadar RM2.60 sekilogram sebagaimana termaktub dalam peruntukan Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Akta 522).
“Kita perkenalkan langkah intervensi sementara iaitu kawalan harga di peringkat kilang dan pemborong, tujuannya untuk pastikan kilang tidak bersaing untuk dapatkan bahan mentah dengan menawarkan harga lebih tinggi,” katanya.
Bernas juga berkata pihaknya sudah menanggung kesan kenaikan harga beras import sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Namun katanya, pelarasan harga tidak dapat dielakkan susulan ketidakpastian keadaan semasa dan setelah mempertimbangkan keperluan untuk memastikan operasi perniagaan yang mampan dan kestabilan industri.
Kata Bernas, mereka akan menjalin kerjasama rapat dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), agensi dan pihak berkuasa yang berkaitan serta rakan dagang antarabangsa bagi tujuan itu.
“BERNAS juga akan kekal komited untuk memastikan bekalan beras negara mencukupi, bertindak sebagai penyerap kejutan bagi menghalang kesan negatif akibat ketidaktentuan pasaran beras global semasa dari melanda negara.
“Bernas akan terus memantau pasaran harga beras antarabangsa dan menyesuaikannya apabila situasi kembali seperti sedia kala. Sekarang Malaysia adalah negara Asia Tenggara yang masih mengekalkan harga import beras terendah. – 1 September, 2023.
Komen