UAE larang eksport beras selama 4 bulan


UAE mengenakan larangan eksport dan eksport semula beras selama empat bulan berkuat kuasa 28 Julai. – Gambar EPA, 30 Julai 2023.

EMIRIAH Arab Bersatu (UAE) mengenakan larangan eksport dan eksport semula beras selama empat bulan, menurut Kementerian Ekonomi negara itu semalam, lapor Xinhua.

Larangan itu berkuat kuasa mulai 28 Julai, meliputi zon bebas di UAE dan terpakai kepada semua jenis beras, termasuk beras perang, beras dikisar sepenuhnya atau sebahagiannya dan beras pecah, menurut kenyataan yang dikeluarkan di akaun media sosial kementerian.

Syarikat yang berminat untuk mengeksport atau mengeksport semula beras wajib mendapatkan permit eksport daripada Kementerian Ekonomi.

Kementerian itu berkata tempoh larangan berkenaan boleh disambung secara automatik melainkan keputusan dibuat untuk membatalkan pelaksanaannya. 

Keputusan itu dibuat selepas kerajaan India pada minggu lalu memutuskan untuk menghentikan eksport beras bukan basmati kerana kenaikan harga dalam pasaran domestik dan kerosakan tanaman disebabkan musim tengkujuh. 

UAE mengimport hampir 90% keperluan makanannya. – Bernama, 30 Julai 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen