HARGA runcit beras 10kg akan meningkat sekurang-kurangnya RM1 bulan depan, kata pengarah urusan pasar raya Mydin.
Free Malaysia Today memetik Ameer Ali Mydin sebagai berkata ini adalah tambahan kepada kenaikan harga bulan lepas antara RM1 dan RM2 sekampit bagi beberapa jenis beras, termasuk beras putih import.
“Kami telah diberitahu oleh pembekal bahawa akan ada peningkatan lagi antara RM1 hingga RM2 untuk beras 10kg. Ini jelas akan meningkatkan harga jualan runcit sebanyak RM1 hingga RM2 untuk beras 10kg,” katanya seperti dipetik portal itu.
Kenaikan harga itu berpunca daripada kelemahan ringgit serta kenaikan kos lain, termasuk elektrik dan buruh, tambah Ameer.
Menurutnya lagi, pembekal sudah mula menjual beras putih tempatan, 5% “Super Spesial Tempatan” pada RM12.80, meningkat daripada RM12.50 untuk beras 5kg, mengurangkan keuntungan peruncit.
“Kos kepada kami juga telah meningkat daripada RM12.50 untuk beras 5kg kepada RM12.80 untuk beras 5kg, tetapi kami masih perlu menjual pada harga RM13,” katanya kepada FMT. – 23 Jun 2023.
Komen