Reformasi dan dilema Anwar Ibrahim


Ruhan Shahrir

PADA 20 September 1998, 25 tahun yang lalu di balkoni Masjid Negara, kota Kuala Lumpur digegarkan dengan laungan “Reeeformasi! Reeeformasi! Reeeformasi!”.

Pada hari ini, setelah 25 tahun berlalu, laungan “Reeeformasi” tetap masih kedengaran. Tapi gemanya terasa lompong. Hanya sekadar teriak-teriakan tanpa penzahiran yang konkrit. Persoalannya kenapa?

Sebahagiannya adalah kerana dilema Anwar Ibrahim dan sebahagian lagi kerana struktur politik masyarakat Malaysia.

Dilema Anwar Ibrahim

Kemuncak kepada perjuangan reformasi buat kebanyakan orang adalah menobatkan Anwar sebagai Perdana Menteri Malaysia. Sebuah jawatan yang dipercayai sewajarnya milik beliau sejak dipecat oleh Dr Mahathir Mohamad pada 2 September 1998. Sebuah jawatan yang diperjuangkan sejak 25 tahun yang lalu. Sebuah jawatan kekuasaan eksekutif tertinggi negara yang pada akhirnya menjadi milik beliau setelah menempuh pahit getir perjuangan yang cukup panjang.

Pada umumnya kuasa yang diperolehi menerusi jawatan Perdana Menteri adalah luas. Banyak perkara struktural dapat direformasikan menerusi jawatan tersebut. Namun Anwar memperolehi jawatan tersebut bukan kerana beliau mendapat mandat yang menyakinkan.

Mandat beliau diperolehi hasil daripada rundingan dengan parti (baca: Umno) yang sebelumnya menjadi seteru kepada perjuangan reformasi. Pakatan Harapan (PH) yang dipimpin beliau gagal mendapat sokongan majoriti daripada komuniti Melayu yakni komuniti beliau sendiri yang juga merupakan komuniti teras politik Malaysia.

Dari situlah munculnya dilema Anwar. Sebuah dilema yang melahirkan pula psikologi terancam. Rasa terancam bahawa beliau boleh dijatuhkan pada bila-bila masa sebelum habis penggal yang sepatutnya.

Apatah lagi sekarang telah pun kedengaran desas-desus bahawa pilihan raya mengejut akan diadakan di Sabah.

Begitu juga dengan khabar angin yang bertiup kencang mengatakan bahawa bahawa Perikatan Nasional akan memulakan langkah yang lebih agresif untuk merebut kuasa di Putrajaya jika mereka memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Pelangai tidak lama lagi. Pada bulan lalu pula Menteri Besar Perak, Saarani Mohamad dalam sidang akhbar beliau mengakui bahawa terdapat gerakan daripada PN untuk menumbangkan kerajaan perpaduan di Perak. 

Semua desas-desus dan khabar angin tersebut pastinya menguatkan lagi rasa terancam Anwar Ibrahim. Saya percaya rasa keterancaman tersebut telah menyedut Anwar khususnya dan PH umumnya kepada politiking dan rundingan-rundingan belakang tabir yang mungkin perlu dilakukan untuk memastikan kedudukan beliau sebagai Perdana Menteri terus kukuh dan kerajaan perpaduan tetap berkuasa di Putrajaya.

Berhadapan dengan suasana seperti itu tentunya akan menyukarkan bukan hanya Anwar tetapi sesiapa sahaja yang menjawat jawatan Perdana Menteri untuk menzahirkan cita-cita reformasi yang diimpikan pada 25 tahun yang lepas.

Saya masih punya keyakinan bahawa Anwar sememangnya menginginkan reformasi di dalam menangani rasuah dan korupsi, memperbetulkan ketirisan dalam perkhidmatan awam, memastikan keadilan sosial buat semua warganegara Malaysia tanpa mengira etnik, merombak semula undang-undang anti-demokrasi yang melanggar hak asasi manusia serta mengangkat nilai-nilai kesaksamaan, keadilan, kemanusiaan dan martabat insan.

Namun oleh kerana situasi dan realiti politik paca-PRU-15 memerlukan beliau menubuhkan kerajaan perpaduan bersama parti-parti yang cenderung berseberangan dengan cita-cita reformasi, maka sebelah tangan beliau terikat daripada melaksanakan agenda reformasi dengan kadar segera seperti mana yang diharapkan oleh penyokong-penyokong PH khususnya.

Malahan konsesi-konsesi perlu diberikan kepada UMNO dan juga parti-parti dari wilayah Borneo iaitu Gabungan Parti-parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Konsesi-konsesi ini tidak terelakkan untuk meminimakan ancaman terhadap keberlangsungan kerajaan perpaduan serta kedudukan beliau sebagai Perdana Menteri. Korbannya tentu sahaja sebahagian daripada cita-cita reformasi yang diikrarkan menerusi Deklarasi Permatang Pauh pada 12 September 1998.

Dilema Anwar antara keazaman beliau untuk melaksanakan cita-cita reformasi dan keperluan untuk beliau memastikan kerajaan perpaduan terus kekal menyebabkan kompromi dan konsesi yang perit terpaksa dilakukan.

Tanpa kompromi dan konsesi, kerajaan perpaduan tumbang. Tanpa kerajaan perpaduan, kedudukan beliau sebagai Perdana Menteri hilang. Tanpa kuasa sebagai Perdana Menteri, perlaksanaan cita-cita reformasi hanyalah bayang-bayang. Sebuah fatamorgana semata-mata.

Justeru, kuasa perlu dipertahankan. Kompromi perlu dilakukan. Konsesi perlu diberikan. Manakala reformasi perlu diperlahankan. Hakikatnya, Anwar tidak punya pilihan lain.

Kerumitan dilema Anwar pada hemat saya lebih dipengaruhi oleh struktur politik masyarakat Malaysia daripada tindakan atau keputusan yang beliau buat sebagai individu.

Struktur politik masyarakat malaysia

Struktur politik Malaysia meletakkan komuniti Melayu di status politik yang lebih tinggi daripada komuniti-komuniti lain. Ini bukan hanya kerana Melayu sebagai etnik majoriti dari sudut demografi, tetapi kerana sejarahnya dan juga tradisinya. Malaysia berasal daripada politi-politi Melayu silam. Di Semenanjung ia dicerminkan menerusi institusi Raja-raja Melayu.

Sabah dan Sarawak juga turut berasal daripada sebuah politi Melayu, yakni Kesultanan Melayu Brunei sebelum kesinambungan tersebut terputus apabila Brooke mengambil alih pemerintahan di Sarawak, manakala Syarikat Borneo Utara di Sabah.

Sungguhpun begitu, tidak berlebihan untuk saya katakan bahawa secara umumnya Melayu adalah komuniti teras kepada negara Malaysia.

Secara tradisinya pula sejak daripada kemerdekaan Semenanjung Tanah Melayu dan penubuhan Persekutuan Malaysia, Perdana Menteri dari yang pertama sehingga yang ke-sepuluh, kesemuanya adalah daripada komuniti Melayu. Meskipun Perlembagaan Persekutuan tidak pernah menetapkan komuniti mana yang boleh diangkat sebagai Perdana Menteri Malaysia, namun secara tradisinya setakat ini hanya Melayu yang menjadi Perdana Menteri.

Begitu juga dengan parti politik. Di sepanjang sejarah politik Malaysia dari Pilihan Raya pertama pada tahun 1955 sehinggalah ke Pilihan Raya Umum ke-14 pada tahun 2018, secara tradisinya Perdana Menteri Malaysia kesemuanya adalah dari parti-parti Melayu.

Ketika berlakunya pertukaran Kerajaan Persekutuan sebanyak dua kali, daripada Pakatan Harapan kepada Bersatu-UMNO-PAS, di jangka waktu 2018-2022, ketiga-tiga Perdana Menteri iaitu Mahathir Mohamad, Muhyiddin Yassin dan Ismail Sabri – kesemua mereka juga adalah dari parti Melayu.

Bukan sekadar itu, hanya parti-parti politik Melayu yang berasal daripada Semenanjung sahaja yang melahirkan Perdana Menteri Malaysia sehinggalah PRU-15 pada tahun 2022.

Pada PRU-15, buat pertama kalinya dalam sejarah politik Malaysia, seorang Perdana Menteri diangkat dari sebuah parti yang bukan berteraskan Melayu, sebaliknya parti berbilang etnik.

Dalam struktur politik yang sebeginilah Anwar perlu menguruskan dilema beliau itu. Sebuah struktur yang hampir mapan diperparahkan pula oleh hakikat bahawa parti beliau sendiri gagal untuk memperolehi sokongan majoriti pengundi Melayu. Rumit.

Sejarah dan tradisi selama puluhan tahun terputus. Struktur politik dan pewarisan kepimpinan yang berasaskan parti Melayu mengalami keretakan. Di mana-mana negara pun apabila struktur politik dan pewarisan kepimpinan yang sejarah serta tradisinya selama puluhan tahun terputus dan retak, goncangan politik sama ada kecil atau besar pasti berlaku.

Ketidakstabilan dan ancaman untuk menumbangkan kerajaan pasti menyusul seperti mana yang dapat kita saksikan di Malaysia pada hari ini.

Mujurnya di Malaysia ia tidak mengakibatkan konflik kekerasan. Goncangan politik dan ketidakstabilan kerajaan masih ditandingkan di dalam bingkai demokrasi dan tetap mengikut lunas-lunas Perlembagaan Persekutuan.

Namun begitu, putus dan retaknya sejarah, tradisi serta pewarisan kepimpinan yang berteraskan parti-parti Melayu setelah lebih daripada separuh abad ia berlangsung, tentu sahaja memerlukan pendekatan politik yang lebih berbentuk kompromi serta konsesi dan kaedah menguruskan konflik serta ancaman yang lebih halus, lunak dan strategik. Manakala reformasi tentunya perlu disesuaikan mengikut situasi politik semasa.

Dalam konteks struktur politik Malaysia yang sebeginilah, reformasi dan dilemma Anwar Ibrahim perlu difahami. Cita-cita reformasi yang dinukilkan oleh Anwar sendiri dalam Deklarasi Permatang Pauh mungkin perlu dilirihkan buat sementara waktu demi kestabilan kerajaan yang berpanjangan. 

Salah gelogok hulu malang, pandai bertenggang hulu baik. – 21 September, 2023.

* Ruhan adalah seorang hippie yang berjiwa bebas, menggemari filem-filem berat Eropah dan menyukai ikan pekasam goreng garing.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen