Sabah di ambang PRN 'mengejut'?


G Manimaran

Cakap-cakap dan spekulasi mengenai PRN seterusnya bagi Sabah sudah kedengaran. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 September, 2023.

SABAH senantiasa mendapat perhatian khusus dalam landskap pilihan raya. Bukan sahaja di peringkat negeri, malah di peringkat nasional. Dari dahulu sehingga sekarang. Banyak kali, Sabah sudah menjadi daya tarikan dalam kalangan pemegang taruh dalam pelbagai sudut, termasuk kekerapan dilangsungkan pilihan raya umum mengejut.

Tiga tahun yang lalu, Sabah mengadakan pilihan raya mengejut atau lazimnya dipanggil sebagai ‘snap election’, susulan ketidakstabilan politik tidak sampai 26 bulan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14). 

Pilihan raya negeri (PRN) Sabah diadakan pada 26 September 2020. Dalam beberapa hari lagi genap tiga tahun PRN 2020 telah diadakan, yang pertama selepas PRU14. 

PRN ketika itu menyaksikan pertandingan melibatkan 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan seramai 447 calon terdiri daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS), yang merupakan kerjasama melibatkan Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), dan Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Cinta Sabah; Parti Warisan Sabah Plus (Warisan Plus), yang merupakan kerjasama Warisan, Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu, dan Pakatan Harapan; serta Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu Baru, Parti Liberal Demokratik, Parti Gagasan Rakyat Sabah, Parti Perpaduan Rakyat Sabah, Parti Harapan Rakyat Sabah, Parti Kerjasama Anak Negeri dan Parti Kebangsaan Sabah. 

GRS membentuk kerajaan Sabah yang baharu selepas menang 38 daripada 73 kerusi menewaskan Warisan Plus yang memperoleh 32 kerusi manakala tiga kerusi dimenangi oleh calon Bebas. 

GRS dan PN merupakan dua gabungan, masing-masing peringkat nasional, julung kali bertanding di Sabah, sekali gus menyaksikan penjajaran demi penjajaran politik dalam tempoh yang singkat.

Mesyuarat Pertama Penggal Pertama DUN Sabah ke-16 bersidang pada bulan Oktober 2020. Bermakna mandat semasa sah sehingga Oktober 2025. Masih berbaki dua tahun.

Di sebalik tempoh mandat berbaki dua tahun, cakap-cakap dan spekulasi mengenai PRN seterusnya bagi Negeri Di Bawah Bayu ini sudah kedengaran. Baru-baru ini GRS menegaskan bahawa pihaknya belum membincangkan mengenai pembahagian kerusi DUN Sabah untuk pilihan raya akan datang.

Lazimnya demam pilihan raya akan mula dirasai sebaik sahaja tempoh mandat melangkah ke tahun keempat. Gear pertama untuk menghadapi PRN sudah mula berputik sebaik sahaja tiga tahun pertama mandat berakhir. Pelbagai kenyataan berkaitan akan dikeluarkan. Begitu juga gerakan jentera pilihan raya peringkat awal akan mula terbentuk. Nama bakal calon juga akan mula kedengaran. Spekulasi demi spekulasi mula timbul. Mereka yang berhasrat untuk bertanding akan mula ‘bersuara’ dan menggerakkan aktiviti mereka. Aktiviti melobi juga akan bergerak dengan aktif.

Keadaan itu sudah mula dirasai di Sabah pada hari ini. Parti-parti yang menganggotai gabungan politik sudah memulakan persiapan dan bersiap siaga untuk menghadapi sebarang kemungkinan dipanggil PRN. 

Antaranya, Ketua Penerangan GRS Nizam Abu Bakar Titingan dilaporkan berkata GRS belum membincangkan mengenai pembahagian kerusi PRN akan datang. Nizam berkata kenyataan Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Yong Teck Lee agar GRS bertanding di kesemua 73 kerusi DUN Sabah hanya pandangan beliau dan parti itu sendiri. 

“Kita menghormati pandangan beliau ini, namun ia bukanlah melambangkan pandangan GRS secara kolektif. 

“Perkara berkaitan kerusi DUN Sabah untuk PRN belum lagi dibincangkan oleh pimpinan tertinggi dalam GRS,” kata beliau sambil menghargai dan berterima kasih atas kerjasama yang telah diberikan oleh rakan pimpinan PH Sabah terutama ketika berlaku krisis politik awal tahun ini, yang merujuk kepada langkah Warisan dan sebahagian pimpinan Umno Sabah. 

Dalam pada itu, Ketua Umno Sabah Bung Moktar Radin yang pada minggu lalu dibebaskan daripada kes mahkamah berkata, partinya menetapkan sasaran untuk kembali mentadbir negeri ini selepas PRN akan datang. 

Katanya, beliau kini memberi tumpuan penuh terhadap usaha mempersiapkan parti bagi menghadapi PRN, dan ia menjadi fokus utamanya selepas kes mahkamah dakwaan rasuah dihadapinya sejak lima tahun lalu selesai.

Penghujung minggu lalu wujud desas-desus mantan ketua menteri dan ketua Umno Sabah Musa Aman akan dilantik sebagai pengerusi PH Sabah. Laporan itu bukan sahaja mengejutkan banyak pihak, malah mencetuskan rasa kurang senang dalam kalangan pemimpin PH Sabah.

Dua kenyataan itu hanya sebahagian daripada warna-warni politik Sabah yang kelihatan tenang, tetapi kekal gelora menjelang PRN yang baharu, tidak dapat dipandang mudah dan diketepikan begitu sahaja.

Di atas kertas, meskipun tingkap pilihan raya bagi tahun 2024 nampak kosong, tetapi kesibukan untuk menghadapi PRN baharu bagi Sabah masih kekal teka-teki. Penjajaran kuasa politik Sabah telah berubah tiga, dalam skala besar, sejak selepas PRU14 lima tahun lagi. Penjajaran terkini ekoran pembentukan kerajaan perpaduan di peringkat nasional selepas PRU15 November lalu.

Mengambil kira krisis politik awal tahun dan penjajaran baharu, kuasa politik akan membawa kepada PRN Sabah dalam tempoh beberapa bulan akan datang. Kemungkinan dalam tempoh empat hingga enam bulan lagi?

Apa pun boleh berlaku. Perkembangan luar dugaan boleh mewarnai kembali dunia politik Sabah. Sebagaimana telah disaksikan banyak kali sebelum ini, PRN Sabah diandaikan tidak jauh. 

Pun begitu, pengaruh kepimpinan pusat kemungkinan boleh menangguhkan sebarang usaha ke arah memanggil PRN mengejut. Kestabilan politik Sabah juga penting untuk menjamin kestabilan peringkat nasional. – 18 September, 2023.

* Dr G Manimaran ialah bekas wartawan berpengalaman membuat liputan pilihan raya sejak 1991 dan mantan ahli tetap Jawatankuasa Khas Penambahbaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC).. Beliau juga penulis bersama buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Menang, Tadbir.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen